Bella Astillah Jadi Pilihan – Bakal Menyanyi Pada Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia

Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mengakui bertuah kerana mengisi ‘line up’ terbaharu konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur.

Pastinya Bella bersyukur menjadi sebahagian daripada sejarah baharu buat industri muzik tempatan sementelah konsert holografik julung-julung kali diadakan di Malaysia.

“Ini adalah satu penghormatan besar buat saya apabila dijemput bersama-sama dalam konsert kali ini. Saya pasti teknologi yang bakal dipertaruhkan berbeza dan menjadikan konsert ini begitu istimewa.

“Pun begitu masih terlalu awal untuk saya mendedahkan apakah bentuk persembahan itu nanti kerana saya mahu mengajak semua peminat untuk sama-sama hadir dan menyaksikan sendiri persembahan kami nanti,” tambah Bella lagi.

Selain Bella, turut serta dalam konsert ini terdiri daripada The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.

Kuala Lumpur sebetulnya menjadi lokasi kedua selepas kejayaan luar biasa konsert sama yang berlangsung di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu.

Glenn yang tampil secara holografik membuktikan bahawa kehilangan fizikal tidak mampu memadamkan cinta dan penghargaan yang mendalam terhadap legasi muzik beliau.

Kini, rakyat Malaysia pula berpeluang mengubati rindu dalam sebuah perayaan seni yang mengangkat kenangan dan jiwa dalam konsert yang berdurasi selama 2 jam setengah.

Konsert ini dibawakan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd, menampilkan bukan sahaja teknologi canggih yang ‘menghidupkan’ semula sosok Glenn Fredly di atas pentas tetapi juga barisan artis yang pernah berkongsi cinta dan karya bersamanya.

Tiket bagi Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com/GlennHologram – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *