December 8, 2024

Baju Kahwin Dah Siap Tiga Tahun – Shiha Zikir Sibuk Fokus Perniagaan

Bukan tidak fikir soal kahwin, Shiha Zikir dan kekasih Kamarul Arifin sepakat untuk memberikan sedikit masa lagi terhadap perancangan kerjaya masing-masing.

Malah mereka mengakui, seorang pereka yang juga kenalan mereka sudah menyiapkan baju kahwin sejak tiga tahun lalu.

“Bukan tak mahu kongsi tapi bimbang nanti orang bosan pasal isu nak kahwin, jujurnya memang ada perancangan ke arah itu,” tutur Shiha.

Kamarul di sisi Shiha senada menambah, semuanya sudah dalam perancangan dan apabila sampai masa dia akan kongsikan dengan semua pihak.

“Saya mahu Shiha fokus dulu dalam apa yang sedang dia usahakan dan kami memang menuju ke arah itu (kahwin),” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui pada majlis pelancaran cawangan kedua Shiha Zikir Nasi Ayam di Seksyen 7 Shah Alam baru-baru ini.

Hubungan cinta Shiha dan Kamarul yang lebih mesra disapa Arul itu sudah terjalin sejak 15 tahun lalu dan menjadi antara pasangan sejoli dalam industri hiburan tanah air.

Sementara itu, Shiha mengakui meskipun seronok dan bersyukur dengan perniagaan restoran yang semakin rancak, dia tidak dapat lari dari ujian termasuk khianat.

Pelantun lagu Aewo itu berkata perbuatan sihir dan dipecah masuk antara dugaan yang dialami sepanjang lebih setahun bergelar tauke Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam.

Dia menyedari restoran miliknya disihir selepas beberapa orang kenalan menghubunginya dan memberitahu kedainya tutup.

“Ada kenalan dan pelanggan yang datang ke restoran bukan sekali tetapi, dua tiga kali tetapi lihat restoran tutup.

“Saya juga selalu dapat panggilan yang bertanyakan waktu restoran dibuka. Walhal restoran saya bukan setiap hari daripada pukul 11 pagi sehingga 10 malam.

“Saya ada keluarga yang turut membuka kedai makan untuk saya kata tidak percaya tidak boleh juga kerana benda berlaku dan bukan seorang dua yang saksi nampak kedai ditutup,” ujar Shiha.

Selain itu, restorannya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu juga pernah dipecah masuk.

Meskipun begitu, Shiha masih positif menyifatkan dugaan yang dialaminya sebagai adat dalam dunia perniagaan.

“Apa yang boleh saya lakukan hanyalah berdoa agar Allah permudahkan segala urusan. Saya belum berjumpa ustaz lagi, cuma berhubung di telefon untuk meminta doa yang boleh saya amalkan,”  katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts