Penyanyi dan pelakon serba boleh, Ayda Jebat tidak menyangka dirinya dilamar untuk berduet dengan kumpulan popular Indonesia, Ungu.
Menurut pelantun lagu Temberang ini, Ungu menjemputnya untuk memeriahkan Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 Julai depan.
“Saya memang terkejut kerana kumpulan Ungu meninggalkan komen di salah sebuah hantaran Instagram untuk mengajak saya berduet. Saya ingatkan mereka hanya main-main, tetapi selepas itu saya dihubungi oleh pengurusan saya. Mereka maklumkan pihak pengurusan Ungu baru sahaja berhubung dengan pihak pengurusan saya untuk menjemput saya berduet.
“Mereka mahu mengajak saya berduet di konsert Ungu yang bakal berlangsung di KLCC pada Julai hadapan. Setakat ini, pihak pengurusan saya sudah berhubung dengan pihak pengurusan Ungu. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya bakal menerima jemputan Ungu,” katanya kepada XTRA.
Tambah penyanyi lagu Pencuri Hati ini, dia berbesar hati apabila dijemput oleh Ungu dan menganggap ia sebagai peluang keemasan.

“Saya sangat gembira kerana dijemput oleh Ungu. Saya sendiri merupakan peminat muzik mereka. Setakat ini, saya sudah bersetuju secara verbal dan perbincangan lanjut bakal diteruskan lagi selepas ini.
“Biarpun kini saya sedang sibuk di set penggambaran drama bersiri Mandul Bukan Pilihan bersama Mira Filzah dan Hun Haqeem, saya tak mahu melepaskan peluang ini kerana bidang nyanyian merupakan cinta pertama saya,” katanya. – GayahIsTyping
