Konsert Krisdayanti Tukar Lokasi – Dari Bukit Jalil Ke Putrajaya

Konsert Cinta Nostalgia bersama Krisdayanti yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini,Ahad ini ditukar lokasi ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, perubahan lokasi dibuat untuk memberi kepuasan maksimum kepada peminat diva dari Indonesia itu.

“Pertukaran lokasi dilakukan demi menjamin keselesaan maksimum, kemudahan terbaik dan menyediakan suasana konsert lebih eksklusif dan imersif buat penonton yang dihargai,” katanya.

Konsert penyanyi yang namanya mula meledak menerusi lagu Menghitung Hari itu ke Malaysia cukup dinantikan selepas kali terakhir menggegarkan hati peminat melalui Konsert Romansa Krisdayanti pada 2017.

Penyanyi jelita itu bakal menghangatkan pentas dengan lontaran vokal lantangnya yang memukau, diiringi susunan muzik orkestra megah dan eksklusif, di bawah pimpinan Pengarah Muzik tersohor, Erwin Gutawa.

Bersesuaian nama konsert, persembahan juga bakal menyaksikan ibu kepada empat cahaya mata itu mendendangkan himpunan lagu cinta popular dan mampu mengimbau nostalgia.

Lebih istimewa, dua bintang hebat tanahair, Mimi Fly yang sinonim dengan gaya persembahan bertenaga dan vokal unik, serta Khai Bahar, penyanyi lelaki pilihan ramai dengan suara memikat akan turut menyerikan pentas sebagai penyanyi undangan.

Gabungan bintang-bintang ini bakal menghadirkan malam penuh warna, emosi dan nostalgia, sekali gus menyatukan peminat dari pelbagai generasi dalam satu momen yang tidak akan dilupakan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *