Filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) ternyata mempunyai penangan tersendiri apabila mencatat kutipan RM15.3 juta selepas empat hari ditayangkan di pawagam termasuk dua hari tayangan bersama peminat.
Dengan kutipan memberangsangkan diraih filem animasi terbitan Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) dan Komet Productions ini, secara tidak langsung membuktikan jenama Ejen Ali menjadi kegemaran penonton di Malaysia.
PWS dalam satu kenyataan menyebut, EATM2 turut mencatat sejarah sebagai pembukaan tayangan animasi tempatan terbesar ketika ditayangkan secara rasmi serentak di 161 pawagam seluruh negara termasuk Brunei pada 22 Mei lalu.
Sambutan hangat membuktikan keterujaan penonton yang tidak sabar menyaksikan kepulangan Ejen Ali di layar perak dan tayangan dijangka akan terus mencatat angka lebih tinggi sebaik tiba cuti persekolahan bermula 29 Mei ini.
Kenyataan itu memaklumkan, tiket EATM2 terjual dengan pantas di pelbagai lokasi dengan beberapa pawagam mula menambah sesi tayangan bagi memenuhi permintaan penonton.

Pengarah EATM2 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation, Usamah Zaid Yasin meluahkan rasa syukur dengan kutipan filem diraih setakat ini.
“Alhamdulillah, sejak sesi ‘Fans Screening’ sehingga ke tayangan rasmi di pawagam, sokongan yang diterima sangat luar biasa.
“Bagi pihak produksi, kami berasa amat terharu dan gembira setiap kali membaca komen serta maklum balas daripada penonton.
“Semua ini sangat bermakna dan lebih menggalakkan kami sebagai pengkarya untuk terus mengusahakan naskhah Ejen Ali akan datang,” katanya menerusi kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof menyeru lebih ramai penonton untuk terus memenuhi pawagam, khususnya menjelang cuti persekolahan yang semakin hampir.
“Kami mengalu-alukan sokongan semua ‘ejens’ untuk terus membanjiri pawagam dan menyemarakkan lagi semangat terhadap karya tempatan.
“Datang dan bawalah keluarga serta anak-anak ke pawagam kerana Ejen Ali The Movie 2 sememangnya hiburan yang membawa mesej penting dan sesuai untuk semua peringkat usia.
“Pada masa yang masa, kami juga mohon kerjasama agar penonton tidak mendedahkan sebarang ‘spoiler’ bagi memastikan setiap orang dapat menikmati pengalaman penuh tanpa gangguan atau pendedahan awal,” katanya.
EATM2 memaparkan perjalanan Ali yang dipilih sebagai perintis bagi misi berisiko tinggi di bawah SATRIA, program elit yang menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI). – GayahIsTyping
