Penyanyi meningkat naik Farez Adnan mengakui bukan mudah untuk dia memujuk diva dangdut Mas Idayu untuk berduet dengan dirinya.
Dedah penyanyi yang pernah menyertai Akademi Fantasia dan D’ Academy Asia ini dia perlu menunggu selama lapan tahun bagi merealisasikan impian itu.
“Saya faham bukan mudah untuk berduet dengan Mummy (Mas Idayu) dan saya masih baru dalam industri tapi tidak salah mencuba dan jangan pernah jemu.
“Alhamdulillah bila saya cadangkan kepada Rusa Music mereka sangat teruja dan Mummy juga akhirnya menyatakan persetujuan.
“Itupun selepas lagu ini siap sepenuhnya dan beberapa kali saya dan pencipta … menukar lirik,” katanya selepas pelancaran single Air Titik Ke Batu di Rusa Cafe semalam.

Tambahnya, lagu yang berkaitan kisah hidup Mummy itu dihasilkan selepas mendapat restu daripada penyanyi yang sudah dianggap seperti ibu sendiri.
Mas Idayu berkata, dirinya bersetuju selepas mendengar lagu berkenan siap sepenuhnya dan mengakui ia lengkap sebagai sebuah lagu dangdut termasuk kena dengan patah lirik yang dinyanyikan.
“Saya tahu pada mulanya ramai yang tidak bersetuju saya berduet dengan Farez tapi sebagai seorang yang ada pengalaman saya wajar menyokong bakat muda seperti dia yang komited dengan irama ini.
“Lagu ini juga sedap didengar dan sesuai untuk dijadikan duet,” katanya.
Mengenai lagu berkenaan yang dikatakan berkait dengan kisah hidupnya, Mas Idayu mengakui Farez antara yang rapat dan mengetahui apa yang berlaku dalam hidupnya.

“Farez tahu apa yang berlaku dan antara yang selalu memberikan semangat,” katanya.
Baik Farez mahupun Mas Idayu, kedua-duanya menafikan lagu berkenaan ada persamaan dengan sebuah lagu dangdut popular dari seberang.
Farez berkata lirik dan gubahan lagu berkenaan sangat berbeza cuma mungkin ada persamaan dari segi perkataan yang digunakan dalam lirik.
“Tak sama dan berbeza, cuma mungkin ada perkataan yang sama takkan kita tak boleh guna perkataan seperti batu,” tambah Mas Idayu.

Pengarah Pemasaran dan Perniagaan Baharu Rusa Music Ariel Pua juga melahirkan rasa penghargaan dengan kesudian Mas Idayu menerima pelawaan mereka.
“Kami berbangga dan menganggap ini penghargaan yang sangat bermakna apabila Mas Idayu bersetuju menjayakan single ini,” katanya. – GayahIsTyping
