Keluang Man Adiwira Tempatan Bakal Cipta Fenomena – Strategi Diatur Sejak Tiga Tahun Lalu

Filem adaptasi watak animasi popular 1990-an, Keluang Man yang menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Nas Muammar Zar atau Nas-T, Datuk Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon dan ramai lagi bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 29 Mei ini.

Penerbit Eksekutif Keluang Man juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya mengumumkan penghasilan filem itu sejak tiga tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha sudah dijayakan.

Menurutnya, antara usaha yang dilakukan pihaknya adalah kerjasama strategik bersama kopi Wonda, kemunculan pertama Keluang Man bersama sutnya pada acara Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67, serta mural gergasi Keluang Man yang diabadikan di Kluang, Johor.

“Keluang Man bukan sekadar sebuah filem, tetapi menyaksikan permulaan bagi Astro Shaw Cinematic Universe yang penuh dengan pengalaman segar.

“Kami teruja untuk memperkenalkan superhero ikonik Malaysia ini dengan cara yang memberi impak merentasi di pelbagai platform,” katanya.

Keluang Man terbitan Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run dan rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions diarahkan oleh Anwari Ashraf,

Filem ini bakal membawa pengalaman ‘superhero’ Malaysia melangkaui layar perak dan seterusnya mengukuhkan lagi potensi filem ini untuk melakar fenomena tersendiri.

Filem adiwira tempatan it yang bakal menjengah pawagam, Khamis ini, bukanlah naskhah yang dibikin semula berdasarkan siri animasi yang cukup popular pada era 1990-an.

Sebaliknya, apa yang disajikan adalah suatu penjenamaan semula karakter yang dianggap ikon kebangsaan itu daripada idea dan sentuhan kreatif pengarahnya, Anwari Ashraf.

Mengambil tempoh lima tahun bagi proses pembangunan jalan cerita sehinggalah filem disiapkan, sutradara yang tidak asing dengan karya berkualiti seperti Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM ini cuba mengembalikan nostalgia lampau dan pada masa sama, melahirkan peminat dari generasi baru.

“Bagi generasi yang membesar dengan Keluang Man, saya guna sekurang-kurangnya apa yang saya faham. Saya dalami jiwa Borhan hasil menonton siri animasi itu.

“Saya cuba bawakan jiwa yang sama ke dalam filem Keluang Man bagi mengembalikan nostalgia peminat lama.

“Bagi generasi baru pula, kami membangunkan filem dan skrip Keluang Man menggunakan kaedah pascamodenisme (satu gerakan seni) di mana naratif filem ini bebas dan kami berharap penonton muda dapat memahaminya,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *