Selaku penyiar popular, TV3 meneruskan dominasi setiap kali Ramadan dan Raya dengan tema penuh makna ‘Sama-Sama Berkat’ pada edisi kali ini.
Lantaran, baru-baru ini stesen berkenaan melancarkan ‘RR2026: Jwanjih Drama’, yang menjadi pembuka tirai rasmi kepada kempen Ramadan & Raya 2026 ‘Sama-Sama Berkat’ oleh Media Prima, sekali gus menandakan permulaan pengenalan barisan drama serta kandungan istimewa yang bakal menghiasi TV3 dan Tonton sepanjang bulan mulia ini.
Dengan kejayaan berterusan dari tahun ke tahun, TV3 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama drama tempatan. Tahun demi tahun, TV3 membuktikan bahawa Ramadan dan Raya adalah miliknya – dan tahun 2026 hadir penceritaan yang lebih bermakna, lebih menyentuh jiwa serta lebih dekat dengan realiti kehidupan penonton.
Bagi Ramadan dan Syawal tahun ini, TV3 dan Tonton menampilkan barisan drama terpilih yang sarat dengan emosi, konflik dan nilai kesedaran. Setiap naskhah disusun rapi untuk menemani penonton sepanjang musim perayaan, menerusi penceritaan yang dekat dengan realiti, serta mencerminkan cabaran dan keinsafan dalam kehidupan.

Antara naskhah utama yang bakal mencuri perhatian serta mencetuskan perbualan sepanjang Ramadan dan Raya 2026 termasuklah di slot Akasia dengan drama Khianat Yang Terpilih, Kerana Cinta Itu Dusta (Samarinda), Bila Cinta Menjadi Dosa (Lestary) dan Anugerah Tanpa Cahaya (Tonton).
Lebih istimewa, barisan drama Ramadan & Raya 2026 ini menghimpunkan barisan pelakon popular kegemaran penonton serta bakat berpengalaman antaranya ialah Amyra Rosli, Azira Shafinaz, Emma Maembong, Che Puan Sarimah Ibrahim, Zamarul Hisham, Elizad Sharifuddin, Puteri Balqis, Azhan Rani dan Amyza Aznan.
Untuk maklumat lanjut mengenai drama yang disiarkan, sila rujuk di Senarai Drama TV3 & Tonton Bagi Bulan Ramadan & Syawal 2026
Mengenai kempen kali ini, membawa konsep “Sama-Sama” menekankan bahawa kebaikan lebih bermakna apabila dilakukan bersama, manakala “Berkat” merujuk kepada kebaikan, ketenangan dan keberlimpahan yang bertambah apabila dikongsi.
Tema ini mengetengahkan nilai perkongsian rezeki dan kasih sayang, serta penghargaan terhadap kenangan bermakna dan keberkatan yang dirasai bersama.

Sebagai sebahagian daripada perjalanan kempen ini, Media Prima turut menampilkan “Friends of Rara 2026,” iaitu barisan personaliti popular dan berpengaruh yang bakal menyemarakkannya lagi, termasuk selebriti popular mereka iaitu Fiza Sabjahan dan Fedtri Yahya.
Dengan kehadiran barisan drama istimewa serta sokongan personaliti ternama, kempen “Sama-Sama Berkat” mengajak semua untuk merayakan Ramadan dan Syawal dengan penuh makna, berkongsi kebaikan, kasih sayang dan kenangan indah bersama insan tersayang. Bersama Media Prima, marilah kita raikan keberkatan, eratkan hubungan dan nikmati setiap detik terindah musim perayaan ini. – GIT MEDIA
