Sebuah Lagi Resume Cemerlang Datuk Seri Siti Nurhaliza – Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza Tidak Perlu Dibangding-Bandingkan Kerana…

Hanya Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tahu apa rasanya saat berdiri di atas pentas di hadapan lebih 65,000 penonton yang hadir dan mengisi setiap sudut perut Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu lalu bagi menyaksikan hikayat Konsert Legasi 30 Siti Nurhaliza.

Sengaja memilih untuk masuk awal sekitar jam 5.30 petang, penulis sudah mula merasakan energi hebat saat mata melirik setiap inci ruang agam stadium yang bakal diisi manusia, dan peringkat demi peringkat penuh dari ruangan bawah sehingga paling tinggi ke cucur atap stadium.

Penangan Biduanita Negara bukan sembarangan, dan hakikatnya tidak mudah untuk seorang penyanyi mampu menggamit peminat hadir mengisi penuh ruang acara sebesar dan segah SNBJ namun Siti Nurhaliza membuktikan beliau anak tempatan yang ada upaya itu.

Jangan diukur soal kesempurnaan, konsert berkenaan bukan penutup kerjaya Siti Nurhaliza sebaliknya menjadi momen meraikan keampuhannya memahat kukuh koordinat sebagai anak seni selama tiga dekad pada kelas tersendiri dan sukar ditandingi.

Soal hebatnya Siti Nurhaliza, bukan seluruhnya pada bakat tetapi pekerti tinggi, membuatkan beliau menjadi kesuma hati ramai yang sukar menafikan Siti Nurhaliza paling layak digelar penyanyi nombor satu negara.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza sebuah persembahan berjaya bukan pada rekod yang dikejar atau untuk dicipta tetapi lebih bermakna kerana ia sebuah pementasan seorang anak seni yang bermula kerdil menyusun langkah demi langkah sehingga ke arashnya pada hari ini.

Tiga dekad mengenai perjuangan bakat, usaha dan komitmen pada bidang nyanyian tanpa pernah mengeluh penat dan menelan setiap pahit yang hadir seiring dengan manis dalam kerjaya nyanyiannya.

Siti Nurhaliza menterjemahkan kisah perjalanan itu menerusi lebih 40 lagu yang disampaikan bermula dengan Purnama Merindu sehingga ke penutup Nirmala meninggalkan momen bermakna buat semua yang hadir.

Mana mungkin memuaskan hati semua, memadai untuk Siti Nurhaliza melunaskan tugasannya dengan kemas membuai semua yang hadir dengan alunan vokal serta tenaga persembahan pada momentum cantik tanpa pancit sepanjang tiga jam beraksi.

Elemen beraksi di atas kren, melompat keluar ke atas pentas, sambutan hari lahir, duet dengan penyanyi jemputan menjadi corak dan sulaman melengkapkan lembaran serta kanvas keseluruhan konsert berkenaan.

Persalinan yang digayakan juga, santun dan padan dengan susuk seorang Siti Nurhaliza untuk beliau beraksi pada masa sama kelihatan anggun di atas pentas di hadapan berpuluh ribu pasang mata yang menonton.

Dari aspek muzik dan bunyi, konsert berkenaan juga melepasi standard yang sepatutnya dan pujian wajar diberikan. Cuma jujurnya, penulis percaya apabila nakhodanya Siti Nurhaliza sebenarnya, sesiapa juga mampu menterjemahkan bunyi dengan baik. Siapa tahu Siti Nurhaliza juga akan berkerjasama dengan pemuzik lain pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza ialah persembahan vokal, lagu dan gerak tari bersatu dengan kemas serta menjadi sebuah lagi resume cemerlang Biduanita Negara yang tidak perlu dibanding-bandingkan kerana beliau, tiada tandingan. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *