January 19, 2025

Belagu Justifikasi Dayang Versatil

KUALA LUMPUR : Diakui antara penyanyi yang memiliki vokal terbaik di negara ini, Dayang Nurfaizah terus mengukuhkan koordinat kerjaya nyanyiannya di negara ini.

Dayang terus relevan, malah memberikan justifikasi bahawa dia penyanyi versatil menerusi kelahiran album studio kesembilannya berjudul Belagu.

 

Belagu yang membawa maksud menyanyi, dibarisi lapan lagu Melayu klasik malar segar disempurnakan dengan susunan dan gubahan muzik oleh penerbit tersohor, Aubrey Suwito.

Lagu Tudung Periuk bakal menjadi trak pertama dari album ini yang akan dilancarkan kepada umum.

“Tudung Periuk dipilih sebagai lagu pertama kerana kemahsyuran lagu itu di kalangan orang Melayu sejak dahulu lagi.

“Liriknya yang begitu puitis disempurnakan lagi dengan melodi yang mengasyikan, menjadi pembuka kepada semua peminat supaya mereka tahu apa yang bakal kami sajikan menerusi album kali ini,” katanya kepada Gayah.

Dayang berkata, dia mahu mengalami sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan iringan muzik secara lansung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar.

Meletakkan harapan agar lagu-lagu Melayu klasik akan terus segar, Dayang berharap Belagu dapat memperkenalkan semula lagu Melayu klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih ringan dan segar.

Pelantun yang popular menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu berkata, lagu Melayu klasik sudah punya ritmanya sendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampainnya.

“Kami ada menyuntik kelainan pada persembahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan,” katanya.

Belagu diterbitkan oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah sendiri DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Belagu disempurnakan dengan lapan trak:

1. TUDUNG PERIUK
2. JIKALAU ABANG MERINDU
3. TAK SEINDAH WAJAH
4. MALAM KU BERMIMPI
5. GURINDAM JIWA (Duet Bersama Hael Husaini)
6. TARI TUALANG TIGA
7. DI KIRIM JANGAN DIPESAN JANGAN
8. KENANG DAKU DALAM DOA MU

Gayah akui memang penggemar Dayang. Muzik dan attitude yang berada pada kelas tersendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts