March 20, 2025

Lepas Rindu Lapan Tahun – Krisdayanti Muncul Dengan Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti 

Penyanyi jelita dari seberang, Krisdayanti bakal mengubat rindu peminatnya apabila muncul dengan sebuah konsert khas ‘Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti’ yang akan berlangsung Jun ini.

Krisdayanti, mesra disapa KD antara penyanyi dari Indonesia yang kekal menjadi buah hati peminat di negara ini sejak mula mencuri perhatian dengan kelunakan suaranya mengalunkan lagu Menghitung Hari lebih tiga dekad lalu.

Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang dibawakan oleh JB Production itu bakal menemui peminat pada 22 Jun 2024, jam 9 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pengarah Jaguh Baru Sdn Bhd, Isa A Rani berkata, konsert berkenaan akan menampilkan pengarah muzik terkenal Indonesia Erwin Gutawa.

“Kami sangat berbangga untuk mempersembahkan Diva dari Indonesia Kris Dayanti yang terus mekar dan menjadi buah hati peminat di negara ini sejak sekian lama.

“Konsert ini juga pasti dinantikan ramai setelah lama Krisdayanti tidak muncul dalam skala persembahan konsert di negara ini.

“Konsert ini juga sebagai kesinambungan dan reportoire yang sangat dekat di hati penonton kedua-dua buah negara ,” katanya.

Pemilihan KD juga kerana reputasi serta kredibiliti penyanyi itu yang bukan saja mempunyai vokal tersendiri, malah bijak berinteraksi serta mesra dengan penonton.

Malam yang bakal dipenuhi dengan momen dan rasa cinta itu akan mengubat rindu peminat selepas KD kali terakhir muncul dengan konsertnya di Malaysia pada 2017 menerusi Konsert Romansa Krisdayanti.

Bagi KD, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti sangat istimewa untuk dirinya terus menjalinkan rasa cinta dan kasih sayang yang berputik sejak sekian lama dengan peminat di Malaysia khasnya yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni bintang juara program realiti Asia Bagus 1992 itu.

Akuinya, dirinya bertuah kerana terus kukuh dalam koordinat seni di negara ini dan terus diingati meskipun ramai penyanyi baru dari Indonesia menempa nama di negara ini.

“Insya-Allah saya akan sampaikan dalam 20 buah lagu yang membawa nama Krisdayanti dikenali di Malaysia seterusnya mencuri hati peminat semua sehingga ke hari ini.

“Saya akui bertuah kerana terus disayangi dan diterima baik dan saya berharap terus mendapat sokongan anda semua hadir pada malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti nanti.

“Saya juga berharap bukan saja peminat daripada Malaysia hadir, malah peminat Indonesia yang berada di negara ini turut sama-sama memberi sokongan,” katanya.

Mempunyai deretan lagu hits yang sentiasa menjadi siulan peminat, malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti pastinya bakal menjadi kisah cinta agung dan kenangan terindah antara KD dan para peminatnya.

Penampilan KD baru-baru ini di pentas akhir program realiti Gegar Vaganza 11 juga ternyata mencuri perhatian peminat di Malaysia dengan dirinya yang sentiasa anggun meskipun bakal memasuki usia lima siri pada Mac ini.

Butiran tiket dan tempahan boleh dibuat mulai 23 Februari ini. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts