Majlis resepsi penyanyi Sissy Iman dan suaminya Dr Zamir Hilman Dr Hamzah berlangsung dalam suasana penuh kasih sayang dan meriah dengan jemputan khas keluarga dan teman kedua-dua pasangan mempelai.
Bertemakan tradisi budaya masyarakat Baba Nyonya Melaka, Sissy dan suami anggun dalam persalinan unik termasuk tatarias dan gaya hiasan kepala penuh pesona.
Tradisi tol sebelum ke pelamin juga dapat dilihat serta aktiviti joget lambak yang disertai teman-teman artis yang hadir bersama pengantin dan ibu bapa Sissy.
“Terima kasih yang hadir dan Sissy sangat menghargainya kerana anda semua bermakna bagi Sissy dan Sissy mahu anda meraikan hari Bahagia ini bersama-sama,” tuturnya kala ditemui pada majlis yang berlangsung di WG Glassbox, Tamarind Square malam Sabtu lalu.
Terdahulu, ayahanda kepada Sissy mengundang sebak saat menyampaikan ucapan apabila mengakui sedih dalam gembira melepaskan anaknya itu kepada Zamir.

Berkongsi dirinya yang bukan saja menjadi suri hati Zamir, malah ibu tiri kepada anak-anak suaminya itu, penyanyi serta pengacara itu
menganggap berkenan sebagai rezeki buatnya sekali gus bersyukur kerana berjaya mencuri hati anak-anak kepada suaminya, .
“Alhamdulillah, saya nampak satu perkara, macam rezeki sebenarnya untuk kita buat lebih banyak pahala.
“Kami sudah banyak kali berjumpa dan memang anak-anak Zamir memanggil yanda (bapa Sissy) dan bonda (ibu Sissy) sebagai nenda dan tokda dari awalnya.
“Cuma kepada saya saja mereka masih panggil aunty lagi. Tapi Alhamdulillah semuanya okay,” katanya.

Hubungan baik Sissy dan anak-anak tirinya turut diakui oleh Dr Zamir apabila melihat hubungan mereka tidak kekok.
“Alhamdulillah, anak-anak saya suka dia. Tak nampak dia (Sissy) kekok,” katanya.
Zamir bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai jumlah dan identiti anak-anaknya atas faktor keselamatan.
Sissy dan Zamir selamat diijabkabulkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat lalu. – GIT MEDIA
