December 8, 2024

Tabik Tok Ti

Persembahan berskala mega! Itu antara rumusan paling berhak diberikan sebaik Konsert Siti Nurhaliza On Tour anjuran Shiraz Projects, melabuhkan tirai di Axiata Arena Sabtu lalu.

Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi memahatkan satu momen dan alibi kukuh, dia layak bergelar penyanyi nombor satu negara.

Bunga Pujaan peminat, Siti Nurhaliza.

Momentum dan tenaga yang dimiliki bunga pujaan berumur 40 tahun ini berada pada kelas tersendiri dan mampu menghiburkan 10,000 penonton dengan jayanya.

Lebih 30 lagu yang disampaikan membuatkan satu dewan tidak henti menyanyi dan menjadi penyanyi latar secara sukarela tanpa dipaksa.

Persembahan Siti sewajarnya dijadikan rujukan untuk penyanyi baru supaya mereka mampu mendapat ilmu berguna sebagai bekalan jika mahu bergelar penyanyi disegani dalam industri muzik tempatan.

Siti Nurhaliza pada kelas tersendiri.

Sayangnya, tidak ramai kelibat penyanyi baru yang hadir sebaliknya, nama besar seperti Siti Sarah, Dayang Nurfaizah dan Hael (yang terpandang dek mata Gayah) hadir memberikan sokongan kepada Siti.

Melihat secara keseluruhan, konsert kali ini menjadi satu lagi resume terbaik Siti bergelar anak seni dan diingati sebagai antara persembahan mega yang pernah dipersembahankan oleh dirinya.

Pemilihan lagu menarik, layar pentas yang kemas dan muzik yang memuaskan.

Masih belum sempurna, kerana kalau tidak semalam pasti menjadi konsert terakhir daripada penyanyi ini.

Jujurnya, ada beberapa hal yang boleh diperbaiki dan pastinya Siti sendiri setuju dengan perkara ini. Kurang sekelumit di sana sini itu adat dan bukti bahawa Siti juga manusia biasa yang tidak mungkin boleh lari daripada kesilapan.

Menonton sosok Siti semalam, adrenalin mengali deras dan bagaikan ada satu tiupan semangat keterujaan hadir. Benar, penyanyi yang sudah mempunyai 25 album ini bukan calang-calang.

Siti memang aset seni negara yang layak berada dalam senarai masyhur selepas nama agung seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Sudirman Haji Arshad, dan Datuk Sharifah Aini.

Komunikasi, gerak tari dan ekspresi Siti juga terus mencapai kepujian tertinggi bagi penyanyi ini jika dibandingkan 20 tahun lalu, saat masih setahun jagung bergelar penyanyi.

Penggemar Siti Nurhaliza.

Di sinilah, bukti jelas betapa seseorang itu berjaya memperbaiki diri dan membentuk jenama yang unggul dalam persada seni.

Gayah masih tersenyum dan sesungguhnya Tabik Tok Ti!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts