Gandingan dua vokalis berbeza genre, seorang gemersik dengan alunan balada dan manakala seorang lagi penyanyi rock metal menyatu kemas dalam single berjudul Biar Gambar Berbicara.
Kolaborasi dua negara serumpun, Azharina Azhar dan Nana Karia, dari Singapura, mencipta titik persamaan dalam gandingan lagu Kontemporari pop, jazz & soul penuh emosi berkisar sebuah kisah perjalanan, kepercayaan dan rasa yang telah dibina sejak bertahun lamanya.
Kerjasama ini bermula sejak hujung tahun 2023 melalui satu panggilan telefon antara mereka yang sudah saling mengenali sejak 2016.
“Bila Nana cakap dia nak kolaborasi, saya terus rasa ada sesuatu yang kuat dalam lagu ni. Bila saya dengar demo lagu ni, saya terus jatuh cinta.
“Rasa macam lagu ni memang ditulis untuk saya. Kami pertama kali bertemu secara bersemuka pada Disember 2023 di Kuala Lumpur dan dari situ, semuanya berjalan dengan lancar,” kata Azharina.

Sample lagu dihantar sekitar Mac 2024 dan kedua-dua artis memasuki studio rakaman di Kuala Lumpur dalam bulan yang sama.
Muzik video pula dirakam di lokasi eksklusif iaitu Mandarin Oriental Kuala Lumpur, yang menambah elemen dramatik dan elegan kepada visual lagu ini.
Menurut Nana Karia, lagu ini adalah lambang keyakinan, kesabaran dan kesungguhan yang akhirnya membuahkan hasil.
“Saya percaya kalau ada kemahuan, pasti ada jalan. Kami melalui pelbagai proses, dari jarak jauh sehinggalah akhirnya dapat bersatu dalam studio.

“Biar Gambar Bicara merupakan lagu berbentuk realiti kehidupan yang dilalui oleh semua manusia. Saya sangat terharu dapat bekerjasama dengan Azharina, seorang penyanyi yang saya kagumi sejak dulu. Lagu ini benar-benar dekat di hati kami berdua,” ujar Nana.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan Nana Karia sendiri, manakala lirik ditulis oleh Faizal Sapuan. Ia diterbitkan oleh gabungan tenaga kreatif dari Jebon Osman, Azharina Azhar dan produksi bersama antara Azharina Entertainment dan Soulitaire Production. – GIT MEDIA
