September 11, 2025

Ziana Sempat Teman Arwah Bapa Tidur – Amat Sedih Kerana Hilang Sepotong Doa

Penyanyi dan pelakon Ziana Zain berkongsi sempat menemani arwah bapanya tidur bersama ibunya beberapa hari sebelum kehilangan insan yang sangat bermakna dalam hidupnya.

Akui penyanyi Syurga Di Hati Kita itu, apa yang paling menyedihkan apabila terpaksa menerima dia kehilangan seorang insan yang sering mendoakannya sepanjang hidup.

“Saya reda dan terima namun apa yang sangat sedih bila saya sedar saya dah hilang satu doa, kalau selalu saya ada doa dari ibu bapa, sekarang saya hilang doa abah saya,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Ziana mengakui arwah bapanya insan penting dalam hidup dan tulang belakang kerjaya seni dirinya dan adiknya Anuar.

“Kami tahu dan bersedia seperti diberitahu doktor sebelum ini sebaik mengetahui bapa berjuang dengan penyakit kanser prostat.

“Saya pujuk diri sooner or later akan sampai juga masa abah untuk tinggalkan kami.

“Apapun kami adik beradik reda kerana sentiasa bersatu dan semua dapat bersama arwah abah sehingga ke saat akhirnya.

“Abah memang selalu pesan dan mahu kami adik beradik bersatu, sejak malam tadi pun arwah abah panggil nama kami seorang demi seorang anaknya Alin dan cucunya Aiman,” katanya.

Ziana juga melahirkan rasa terbaru dengan penghormatan yang diterima arwah bapanya dengan segala urusan dipermudah dan dapat diselesaikan dengan lancar sehingga ke liang lahad.

“Abah dulu kerja sebagai anggota polis dan suka bantu orang, abah juga pemurah dan Alhamdulillah hari ini Allah balas setiap kebaikan abah,” katanya.

Ziana turut menambah, sebagai anak sulung dia akan terus kuat untuk adik-adiknya dan ibu Robiah Abdul.

“Saya kehilangan orang penting dan kekuatan dalam hidup tapi saya perlu terus kuat terutama untuk mak saya,” katanya.

Bapa Ziana, Allahyarham Zin@Zain Abdullah meninggal dunia kira-kira jam 3.22 petang tadi akibat kanser prostat di kediaman mereka di Kayangan Heights, Shah Alam.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina di sini kira-kiram jam 7 malam. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts