Konsert Kristal OG Rai 25 Tahun Perjalanan Seni – Cipta Sejarah Dan Kenangan Himpunkan Semua Ahli Atas Satu Pentas Ikonik

GIT MEDIA: Kristal antara kumpulan yang mempuyai pengikut sendiri dan melalui pelbagai suka duka dalam perjalanan 25 tahun menelusuri industri muzik tanah air. Malah kumpulan ini juga tidak terkecuali dengan ahli yang datang dan pergi.

Lantaran bagi meraikan kelahiran sejak lebih dua dekad mereka dalam industri serta menjalinkan ukhuwah antara ahli kumpulan, sebuah konsert istimewa yang bukan sahaja mengimbau kenangan, malah mencipta sejarah tersendiri dengan menghimpunkan ramai ahli lama dan baharu di atas satu pentas ikonik pada 1 Mei ini di Zepp Kuala Lumpur.

Lan Solo mewakili jenama Kristal OG sempena konsert berkenaan berkata, Kristal bermula dari studio kecil dan persembahan gig bawah tanah, perlahan-lahan membina nama dalam industri muzik.

“Sepanjang tempoh 25 tahun tersebut, Kristal melalui pelbagai fasa yang membentuk identiti mereka hari ini. Kini selepas 25 tahun, semua kenangan tersebut bakal dihidupkan semula menerusi Konsert ‘Kristal OG 25 Tahun Dalam Satu Malam’,” katanya dalam siding media di Hotel Olympic Kuala Lumpur.

Lan menambah konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi malam istimewa yang didedikasikan untuk mengimbau nostalgia melalui seleksi lagu yang membesar bersama peminat sejak awal penubuhan kumpulan ini.

“Konsert kali ini adalah berlainan dengan konsert Kristal sebelum ini. Kami akan ‘all out’, dengan saya akan menyanyikan 40 lagu yang pernah dirakam dari Album pertama sehingga album yang ke-13.

“Lagu-lagu dalam album tersebut termasuklah yang dianggotai oleh ahli lain iaitu Rody, Izal, Joe, Acap, Amai, Ainol, Rijal dan ramai lagi anak beranak Kristal dalam album itu,” katanya.

Konsert Kristal OG 25 Tahun ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama Blavia dan Andromeda Event sebagai penganjur acara.

Penghargaan turut diberikan kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif menerusi Dana Kandungan Kreatif – Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik.

Peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini boleh mendapatkan tiket melalui pautan rasmi https://blaviaofficial.com/pages/kristalog

Sementara itu menurut Khai, merancangan konsert ini bukan dalam tempoh yang singkat memandangkan sebelum ini, pihaknya kerap mengikuti konsert artis lain sebagai rakan strategik untuk belajar dan ambil pengalaman.

“Cuma tercetus idea untuk menganjurkan konsert ini apabila saya mula rapat dengan Lan dan sejak itu kami banyak berbincang.

“Lan sendiri tidak pernah buat persembahan dalam sebuah konsert besar secara solo, cuma ada bergabung dengan rakan vokalis lain. Jadi dari situ mulalah tercetus idea untuk mengadakan sebuah konsert solo bersama kumpulan ini.

“Namun ia ada kesukaran dan cabaran tersendiri. Jadi sebab itulah kami mencetuskan Konsert Kristal OG, satu jenama,” katanya. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *