Pelbagai rasa dan pendapat bertebaran sebaik single pertama Kumbang Bunga dari album tradisional terbaharu Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Gema Bumantara berkumandang di ruang udara dan digital. Adat manusia ada yang terpesona, ada yang mula membuat perbandingan seolah juri acara.
Membandingkan dengan yang sebelum ini, bukan ukuran yang tepat sementelah Gema Bumantara hasil air tangan pengkarya yang berbeza dan rata-ratanya masih hijau mahu mencuba dan mempersembahan rima serta bunyi tradisi yang menjadi kebanggan bangsa.
Bagi empunya diri, Siti Nurhaliza mengakui dirinya mengambil langkah berani dengan memberi percaya kepada sesiapa sahaja yang mahu berkarya membawa irama akar budaya bersama dengannya tanpa mengukur siapa mereka daripada ratusan lagu yang diterima.
“Saya menerima lebih 200 buah lagu baharu sebelum membuat 10 pilihan terbaik bagi menghasilkan Gema Bumantara tanpa mengetahui gerangan komposernya, Alhamdulillah saya dapat lagu yang terbaik dan karya gabungan anak muda yang berbakat besar bersama mereka yang sudah berpengalaman,” katanya kala ditemui pada majlis pelancaran album berkenaan baru-baru ini.
Keputusan Siti Nurhaliza itu tepat dalam usaha melahirkan komposer pelapis untuk mengangkat muzik tradisional bangsa kita standing nama besar seperti Allahyarham Pak Ngah antaranya. Kalau bukan Siti Nurhaliza, siapa lagi yang boleh membuka jalan kepada anak-anak muda ini berkarya?

Berkongsi judul Gema Bumantara pula, kata Siti Nurhaliza, ia membawa makna yang besar dan menjadi simbolik kepada harapannya agar lagu tradisional terus bergema merentasi zaman.
“Dalam usaha mencapai matlamat ini, saya percaya bahawa acuan dan resipi muzik perlu bergerak seiring dengan peredaran masa agar dapat menjangkau pelbagai generasi,” katanya.
Siti Nurhaliza mengakui dirinya kagum dan bangga dengan anak muda terbabit termasuk ada yang datang dari lulusan muzik Berkeley serta mampu menggarap melodi dengan baik dengan identiti tersendiri.
“Saya puji semangat mereka. Mereka ada prinsip dan hala tuju sendiri dan tidaklah hanya menyerahkan kepada saya untuk buat mengikut kehendak sendiri.
“Contohnya, Firdaus Rahmat, pencipta lagu Kumbang Bunga, dia sendiri tetapkan bagaimana melodi itu mahu dibawa. Saya hormat karya mereka dan tidak ubah terlalu banyak,” katanya.
Selain Firdaus, barisan komposer dan penulis lirik terbabit dalam album ini ialah Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan dan Danish Norr.
Selain itu, Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya dan Datuk Habsah Hassan turut terbabit.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Kumbang Bunga (duet penyanyi Indonesia Lesti Kejora), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya.
Beliau turut melahirkan rasa terharu apabila album Gema Bumantara yang menemui peminat di platform digital utama bermula 28 Oktober lalu mendapat sambutan dan kini berada di carta pertama iTunes.
Lentaran, penyanyi nombor satu negara yang juga ratu hati peminat ini meluah harap agar stesen radio turut memainkan lagu berirama tradisional demi memartabatkan lagu warisan.
“Kami akan meneruskan promosi seperti biasa dan akan serahkan pilihan lagu kepada pihak stesen radio,” katanya.
Edisi fizikal album Gema Bumantara pula dijangka akan dilancarkan pada Januari 2026 sempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
Gema Bumantara kesinambungan siri album tradisional Siti Nurhaliza seperti Cindai (1997), Sahmura (2000), Sanggar Mustika (2002) dan Lentera Timur (2008). – GIT MEDIA
