April 27, 2024

Awesome Ramadan di Awesome TV

PETALING JAYA: Bermula 3 April ini, lebih 50 program menarik pelbagai genre menerusi platform Awesome TV di saluran Astro 123 dan MyTV 112 bakal menanti penonton stesen itu. 

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata tema ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’ dipilih khas untuk menerajui Kempen Ramadan Awesome TV 2022 kerana ia membawa pengertian dalam menyuntik inspirasi sekaligus mengangkat semula semangat rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik.

“Selepas dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, kami menyambut baik pengumuman peralihan fasa endemik bermula 1 April ini yang dilihat dapat memakmurkan semula tradisi sambutan bulan penuh barakah ini dengan pelbagai aktiviti ibadah. 

“Sebagai simbolik tema kempen kami pada tahun ini, sebanyak 15 unit permaidani eksklusif dari Masjidil Haram, Mekah akan dihadiahkan kepada 15 buah masjid terpilih di sekitar Lembah Klang dalam kolaborasi amal bersama syarikat korporat, Koperasi Amanah Pelaburan Berhad atau ‘KAPB’,” katanya.

PROGRAM TV MENARIK SEPANJANG RAMADAN 2022 DI AWESOME TV

Sempena bulan puasa ini, Awesome TV menampilkan rangkaian drama-drama terhebat khas untuk peminat drama Melayu tempatan. ‘Antara Ikhlas dan Kaca’ yang dibintangi oleh Luqman Hafidz, Wanna Ali, Aleza Shadan dan Zain Hamid bakal menghiasi slot ‘Dramatix’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam.

Manakala drama ‘Sudin Dah Kaya!’ yang menampilkan figura rock tanah air, Datuk Awie sebagai tonggak utama bersama Zalif Sidek, Umar Dzariff dan Marissa Yasmin pula bakal mengambil alih slot ‘Dramedi’ pada setiap hari Khamis hingga Ahad jam 9.30 malam.

Mengisi slot ‘Ohsem Tele’ pada setiap hari Ahad jam 10.00 malam turut menampilkan seleksi telemovie segar seperti ‘Permintaan Terakhir Abah’ yang dilakonkan oleh Hafizuddin, Jay Iswazir, Hazama dan Johan As’ari, ‘Pak Pokok Ketapang’, menampilkan gandingan Amerul Affendy, Dian P.Ramlee, Ezzaty Abdullah dan Hafizul Kamal serta ‘Hud’, diterajui oleh Fahrin Ahmad, Eira Syazira, Eqifshah dan Norlia Ghani.

 Sutradara hebat tanah air, Rashid Sibir juga tampil dengan karya, ‘Jeman’, lakonan pelakon baru, Iman Zulkarnain, Fauziah Nawi, Farah Ahmad dan Mia Farhana.

Dalam pada itu, slot ‘Hiburan’ bakal membariskan program-program menarik berbentuk infotainment dalam pelbagai genre seperti komedi, sketsa, bual bicara dan banyak lagi. Jangan lupa temujanji anda dengan kami untuk program-program seperti ‘Perang Malam Ini’, ‘Sketsa Sketso’, ‘Roller Kata’, ‘Laki Masak Bini Lucky’, ‘Jawapan Panas’, ‘Rumah Insaf’, ‘Memoria’ dan banyak lagi.

Selain itu terdapat beberapa slot khas seperti ‘Ohsem Lejen’, ‘Filem Kita’, ‘Sahur Special’, ‘Malar Segar’, ‘Hindi Special’ dan ‘Awesome Movie’ bagi hidangan tontonan Awesome TV. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts