Malam Terlarang Menghantui Panggung – Catat Kutipan RM3 Juta Hari Pembukaan

Filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, mencipta kejayaan apabila meraih kutipan pembukaan berjumlah RM3 juta.

Berlatarkan tahun 1980-an, filem tersebut memberi fokus kepada sebuah keluarga yang menyimpan banyak rahsia merentas generasi.
Filem tersebut bintangi barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul serta Sadiq M. Jamil.

Penerbit Eksekutif Malam Terlarang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata kejayaan itu membuktikan sambutan positif daripada terhadap naskhah seram tempatan.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada penonton yang memilih untuk menonton Malam Terlarang di pawagam.

“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa karya tempatan yang dihasilkan dengan kualiti tinggi dan jalan cerita yang dekat dengan jiwa penonton masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, Raja Jastina mengajak orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman sinematik Malam Terlarang di pawagam, sebuah pengalaman yang pastinya lebih mengujakan dan berbeza apabila dinikmati di layar besar.

Malam Terlarang bukan sekadar menampilkan elemen seram dan mistik Nusantara, tetapi turut mengangkat kisah kekeluargaan yang penuh emosi.

Visual yang memukau serta lakonan mantap barisan pelakon turut menjadi antara faktor kejayaan Malam Terlarang.

Malam Terlarang menyampaikan mesej tentang ‘bila bertuhankan nafsu’, di mana ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemahuan duniawi. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *