October 25, 2025

Kumbang Bunga Semarak Lenggok Tradisi Siti Nurhaliza – Gabungan Suara Melayu Serantau

Kumbang Bunga single terbaru Biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza menyemarakkan kembali lenggok alunan tradisonal penyanyi itu yang dirindui peminat.

Lebih istimewa, Siti Nurhaliza bijak berpadu suara dengan penyanyi Indonesia Lesti Kejora menerusi lagu berkenaan yang pasti mencuri hati peminat muzik serantau.

Dicipta oleh Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh, lagu ini menjadi single pertama daripada album terbaharu Siti Nurhaliza dan melambangkan persahabatan serta keharmonian dua negara serumpun yang disatukan melalui bahasa muzik.

Kumbang Bunga membawa makna signifikan sebagai gabungan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri, dalam garapan kontemporari tradisional.

Ia dihasilkan bagi menyantuni peminat muzik pelbagai generasi dan menarik minat golongan muda untuk terus menghargai muzik berteraskan warisan.

Menurut Siti, beliau tertarik dengan melodi Kumbang Bunga sebaik mendengarnya dan mencadangkan agar elemen dangdut, yang sinonim dengan gaya nyanyian Lesti, turut dimasukkan ke dalam gubahan lagu itu.

“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional,” katanya.

Beliau menambah bahawa muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya dan sempadan.

“Menerusi Kumbang Bunga, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia tetapi turut mendapat tempat di hati peminat kami di negara lain,” jelasnya.

Lesti pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu penghormatan besar.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Firdaus Rahmat, selaku komposer dan penulis lagu, menjelaskan bahawa proses penciptaan Kumbang Bunga mengambil masa kira-kira dua hari sahaja untuk disiapkan sepenuhnya.

“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Lesti kerana saya ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar,” ujar Firdaus yang bergabung bersama Iqie Hugh dalam penciptaan karya ini.

Kumbang Bunga diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd. Lagu ini boleh didapati di semua pelantar digital mulai 22 Oktober 2025. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts