Konsert Empat Live In Kuala Lumpur yang berlangsung Sabtu lalu terus membekas di hati yang menonton dengan pujian masih meniti di bibir ramai.
Bagi penulis sendiri, Empat berjaya mencuri hati dan membuat senyuman mekar terukir sejak pentas di buka sehingga penutup penuh fiesta dengan lagu Jangan Henti.
Jangan Henti nyanyian Ziana Zain, Anuar Zain, Syamel dan Ernie Zakri sendiri menjadi mesej paling tepat agar jenama Empat diteruskan pada edisi akan datang.
Kesemua mereka berjaya mencipta simetri antara mereka dengan baik dalam setiap persembahan termasuk penampilan dan tenaga yang diberikan.
Namun harus diakui, aura Ziana dan Anuar sangat besar bagaimanapun tidak menenggelamkan Syamel dan Ernie.

Itu hakikat, pengalaman lebih awal membuatkan Ziana dan Anuar berada pada tahap tersendiri dengan Ernie dan Syamel mampu memberikan energi yang tidak kurang hebatnya dalam persembahan lebih dua jam yang berlalu tanpa sedar.
Tahniah kepada pasukan konsert ini dalam semua aspek terutamanya pemilihan lagu dan perjalanan yang menarik serta segar dan berjaya memberikan peranan sama rata kepada Empat.
Anuar sangat menyerlah melagukan Gundah nyanyian asal Ernie dan membuktikan betapa dia gemar lagu Belakang Tabir nyanyian asal Syamel.
Ziana juga membawakan lagu Syamel dengan baik serta mencuri hati penggemarnya mengalunkan lagu Kesemua Hati.
Syamel dan Ernie cemerlang menyampaikan lagu milik Mak Long dan Pak Ngah mereka dengan baik meskipun lagu-lagu yang dibawakan sudah cukup kuat serta sebati dengan alunan vokal Ziana dan Anuar.

Segmen dansa dengan rangkaian lagu-lagu rancak kesemua empat penyanyi berkenaan juga menghiburkan dan membuat adrenalin mengalir dengan deras dalam kalangan penonton.
Dalam aspek penampilan, elemen simetri masih jelas apabila masing-masing tidak kalah dengan penampilannya sementelah Ziana dan Anuar yang diakui mempunyai citarasa fesyen yang hebat.
Secara keseluruhannya, Empat berjaya mencipta satu lagi jenama dan konsep konsert yang tersendiri serta membuktikan pertalian darah memberikan kelebihan mereka menguasai pentas persembahan.
Anuar Zain Network bersama Altus Prohouse wajar membawa dan merangka persembahan Empat yang seterusnya kerana pastinya ramai yang bersedia kembali dan menonton lagi.
Empat sebuah konsert wajib tonton dan keputusan 4,500 penonton melangkah masuk ke ruang Mega Star Arena termasuk mereka yang terbang pulang jauh dari Jerman dan Dubai ternyata berbaloi. – GIT MEDIA
You may also like
-
Kumbang Bunga Semarak Lenggok Tradisi Siti Nurhaliza – Gabungan Suara Melayu Serantau
-
Bakal Lakar Sejarah Nasyid – Misi InTeam Tawan Axiata Arena
-
Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel Ajak Peminat Hafal Jangan Henti – Nyanyi Bersama 18 Oktober Ini
-
Legacy 30 Siti Nurhaliza – Simbol Perjalanan, Pengorbanan Dan Kejayaan Seni Biduanita Negara
-
Erra Fazira Tak Lepas Tangan – Bantu Lonjak Jualan Hingga Hampir 40 Peratus Produk Captain Dolphin
