Terus kukuh sebagai antara band yang dikenali dalam koordinat industri muzik tempatan, Drama Band bakal meraikan survival 15 tahun mereka dengan sebuah konsert khas berjudul Konsert Drama 15 Tahun pada 31 Januari depan di RCD BIG Studio, Shah Alam.
Konsert yang dianjurkan oleh Aepul Roza Enterprise dengan sokongan rasmi Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures ini turut merancang siri jelajah promosi merangkumi 22 lokasi di seluruh negara sebagai pendahuluan kepada majlis utama.
Lebih menarik konsert berkenaan menawarkan harga mampu tonton untuk penggemar kumpulan berkenaan khasnya serta seluruh penyokong muzik tempatan bersama-sama meraikan muzik Drama Band yang sentiasa mempunyai identiti tersendiri.
Vokalisnya, Aepul berkata mereka sepakat untuk menawarkan harga murah dalam usaha mengajak dan menghargai peminat menonton persembahan yang menjanjikan kelainan dan hiburan maksima itu.
“Kita mahu semua peminat Drama Band dapat sama-sama hadir dan kami sepakat untuk tidak meletakkan keuntungan sebagai faktor utama, walaupun murah kami tidak akan berkompromi soal kualiti.

“Kami juga bakal menampilkan seorang penyanyi lagenda tanah air sebagai elemen kejutan pada konsert itu nanti. Kami terharu dengan kesudian beliau yang memang banyak menyokong kami,” kongsinya pada siding media di Kafe Rusa, Puchong baru-baru ini.
Perjalanan Drama Band dalam industri muzik bermula sejak penubuhan mereka pada tahun 2010, apabila mereka berjaya menonjol sebagai Naib Juara dalam pertandingan Hot FM Twisties Bingit.
Pencapaian membanggakan mereka terbukti apabila terpilin sebagai finalis Anugerah Juara Lagu pada edisi ke-30 dan ke-34 menerusi lagu hit mereka yang masih segar diingati ramai iaitu Biarkanlah dan Drama.

Reputasi mereka turut dikukuhkan dengan pelbagai pencalonan dalam anugerah berprestij seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah MeleTOP Era, membuktikan kualiti dan konsistensi mereka dalam menghasilkan karya muzik yang berkualiti.
Tiket konsert ini mula dijual pada 11 Disember lalu melalui platform dalam talian di www.ticket2u.com/drama15tahun dengan harga serendah RM58. – GIT MEDIA
