Kuala Lumpur: Bukan hanya karnival jualan biasa, sebaliknya Star Vendors menjadi platform terbaik untuk usahawan meluaskan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors, Ifa Raziah berkata karnival yang akan menghimpunkan lebih 400 usahawan itu memberi peluang untuk menambah jaringan perniagaan termasuk usahawan antarabangsa.
“Kita ada beberapa jenama antarabangsa selain tempatan, jadi banyak peluang yang ada untuk koloborasi perniagaan.
“Saya terharu dengan sokongan dan kepercayaan termasuk ada jenama perkhidmatan yang mahu bekerjasama dengan kami dan percaya dengan Star Vendors,” katanya.
Ifa berkata sasaran jualan untuk karnival selama 72 jam tanpa henti itu ialah melebihi RM10 juta dan mampu menarik sehingga 2.5 juta pengunjung.
Turut menarik ialah penglibatan kira-kira 40 selebriti termasuk nama besar seperti Ziana Zain, Anuar Zain, Datuk Rosyam Nor, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Fizz Fairuz dan ramai lagi.
Hadiah cabutan bertuah termasuk wang tunai juga menanti pengunjung.
Mengulas lanjut, Ifa berkata dia enggan mengambil pusing mengenai cakap-cakap kononnya dia men’caras’ pihak lain apabila menganjurkan Star Vendors di PWTC.
Ifa berkata, niatnya ialah mahu menampilkan artis juga mampu bergelar usahawan dan menjana pendapatan dengan cara lain.
Selain itu, karnival ini juga membuka peluang semua pihak termasuk Bumiputera supaya meluaskan perniagaan mereka.
“Tidak ada isu apa pun. Saya kumpul duit, cuba nasib nak berniaga dan PWTC terima permohonan saya.
” Dalam berniaga kita kena bijak mencari peluang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Komunikasi PWTC, Intan Tantiyana Puteri Jaafar berkata, bagi pihaknya mereka mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu berniaga.
Apa yang penting katanya, datang bersama modal dan kos.
“Ada duit, buat bayaran yang sepatutnya sesiapa pun boleh berniaga,” katanya.
Pada majlis pelancaran Isnin lalu, PWTC turut menajaga hidangan buffet Ramadan kepada semua tetamu.
Penaja utama Star Vendors ialah nama NUC CAR. Turut selaku penaja bersama ialah NEFFOS.