Kumpulan nasyid popular, Inteam bakal mencipta sejarah dalam misi menawan Axiata Arena, Bukit Jalil menerusi konsert berskala mega berjudul 25 Tahun Inteam Nur Kasih pada 1 Februari tahun depan, dengan jangkaan kehadiran lebih 9,500 penonton dari seluruh negara.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu dianggap langkah berani dalam memperkukuh kedudukan irama nasyid di persada muzik arus perdana dan antarabangsa.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata pihaknya terpanggil untuk menganjurkan konsert itu kerana melihat Inteam sebagai ikon yang berjaya membawa mesej ketuhanan secara moden dan universal.
“Untuk konsert ini, kami tidak mahu tampil dengan persembahan biasa. Pasti ada elemen baharu dan kejutan istimewa buat peminat.
“Tujuan kami jelas iaitu mahu meletakkan nasyid di peta dunia dan membuktikan muzik ini masih relevan di hati pendengar,” katanya ditemui pada sidang media baru-baru ini.
Sementara itu, anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun, berkata kolaborasi dengan Icon Entertainment bakal mempertingkat mutu produksi, baik dari segi teknikal mahupun persembahan.
“Kami harap kerjasama ini akan beri pengalaman dan kepuasan dua kali ganda kepada penonton. Icon Entertainment memang pakar dalam penganjuran konsert berskala besar.
“Kami akan berikan segalanya di pentas nanti. Inteam ada lebih 130 lagu dan kali ini, banyak karya lama yang akan kami hidupkan semula,” katanya.
Selain Hazamin, kumpulan Inteam turut dianggotai oleh Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad.
“Apa yang lebih istimewa, ini juga bakal menjadi konsert solo nasyid pertama dianjurkan di Axiata Arena. Kami anggap ini satu penghormatan dan tanggungjawab besar,” ujar Hazamin.
Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih dijangka menjadi antara persembahan nasyid terbesar di negara ini dengan kapasiti hampir 10,000 penonton dan tiket boleh didapati menerusi platform Ticket2U.
Sebelum ini, kumpulan nasyid berkenaan sukses menerusi penganjuran Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam di Idea Live Arena, Damansara Intan, Petaling Jaya, pada 28 September lalu yang menyaksikan lebih 5,000 peminat hadir. – GIT MEDIA
You may also like
-
Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel Ajak Peminat Hafal Jangan Henti – Nyanyi Bersama 18 Oktober Ini
-
Legacy 30 Siti Nurhaliza – Simbol Perjalanan, Pengorbanan Dan Kejayaan Seni Biduanita Negara
-
Erra Fazira Tak Lepas Tangan – Bantu Lonjak Jualan Hingga Hampir 40 Peratus Produk Captain Dolphin
-
Goyang Gerudi Inul Kembali Selepas Dua Dekad – Bawa Amelina Dan Baby Shima
-
Komposer Nampak Siti Nurhaliza Pada Umairah – Lancar Single Bertajuk Sayap