September 25, 2025

Komposer Nampak Siti Nurhaliza Pada Umairah – Lancar Single Bertajuk Sayap

Komposer Farouk Roman melahirkan rasa kagum terhadap sikap Umairah yang dianggap profesional, biarpun masih muda.

Malah dia yang mencipta single terbaharu Umairah berjudul Sayap bersama Resa Husin turut menyamakan kesungguhan dan sikap Umairah dengan legenda muzik negara, Biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika mula bertapak.

“Umairah mengingatkan saya Siti daripada segi persediaan, disiplin dan keinginan untuk memahami lagu.

“Pada sesi latihan, Umairah sudah hafal melodi, tahu struktur lagu dan paling penting, tahu bagaimana hendak bawa emosi tu dalam nyanyian.

“Usia baru 14 tahun, tetapi sudah tahu hendak buat persiapan awal dan bawa emosi yang saya mahukan,” katanya.

Sementara itu, Umairah artis baharu di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd mengakui sangat bersyukur diberi peluang dan kepercayaan untuk menyanyikan lagu ini.

“Lagu Sayap memang menyentuh jiwa saya sejak pertama kali mendengarnya, Melodi lagu ini mendalam membuatkan saya ‘feel’ apa yang cuba disampaikan.

“Saya harap pendengar juga dapat merasakan emosi sama,” katanya pada majlis pelancaran single Sayap baru-baru ini.

Pelancaran single Sayap bukan sahaja memperkenalkan Umairah sebagai wajah baharu industri muzik Malaysia, malah, membuktikan kesungguhan SN Legacy dan Universal Music Malaysia dalam mencungkil bakat generasi muda.

Siti turut hadir pada majlis pelancaran single Sayap sebagai tanda sokongan kepada Umairah.

Single Sayap boleh didapati di semua platform digital manakala video muzik rasmi ditayang di saluran YouTube Universal Music Malaysia. Video muzik Sayap diarah Rifaiee Omar dari Rio Films Production.- GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts