Syarikat produksi M Toons Media Sdn. Bhd. mengambil pendekatan dengan menghasilkan sebuah filem sains fiksyen berjudul Abu Si Raksasa.
Penerbitnya, Zamin Fakry berkata, filem berkenaan mengangkat kisah mengenai seekor cicak salamander yang berubah bentuk kepada saiz gergasi akibat daripada pencemaran.
“Idea menghasilkan filem ini tercetus ketika perbicangan bersama dengan seorang Profesor Dr Hezri Adnan yang merupakan ahli akademik alam sekitar.
“Kemudian, ia memberi ilham kepada kami untuk menghasilkan sebuah naskhah sains fiksyen yang berkaitan dengan isu alam sekitar menerusi filem ini,” ujarnya.
Abu Si Raksasa berkisar tentang seekor cicak salamander belaan Zaara diberi nama Abu yang bermutasi disebabkan pencemaran bahan kimia daripada pencuci jamban berjenama ROXCCID di sebuah empangan.
Kemudian Zaara dan rakannya iatu Sofiyan dan Zidan bergabung tenaga demi menyelamatkan Abu dari serangan pihak berkuasa yang diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad.

Menurut Zamin, apa yang menariknya tentang filem berkenaan adalah ia merupakan filem ‘Kaiju’ (raksasa) pertama yang dihasilkan di Malaysia.
“Sebelum ini sudah banyak genre seper> seram, aksi dan komedi yang dipaparkan. Jadi, kami cuba untuk menampilkan kelainan menerusi filem Abu Si Raksasa.
“Jalan ceritanya juga telah diolah mengikut kesesuaian masyarakat di negara ini dan ia merupakan sebuah filem yang cukup menarik untuk ditonton,” jelasnya.
Diarahkan oleh Ramdan Che Hassan, filem berkenaan menampilkan barisan pelakon popular seperti Sophia Al-Barakbah, Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida.
Ujar Zamin, untuk merealisasikan penerbitan filem Abu Si Raksasa, pihaknya telah membelanjakan kira-kira RM2 juta dan ia termasuk kos CGI dan VFX.
“Boleh dikatakan ia adalah bajet yang agak terhad, namun produksi telah cuba buat sebaik mungkin dan kami berterima kasih kerana mendapat dana daripada pihak Kementerian Komunikasi dan Finas bagi menjayakan pembikinan filem ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ramdhan selaku pengarah yang juga penulis skrip berkata, cicak salamander dipilih sebagai tunjang penceritaan kerana ia memiliki sifat yang unik.
Jelasnya, filem berkenaan menjalani penggambaran pada September 2023 di sekitar Lembah Klang, termasuk Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya.
Filem Abu Si Raksasa l mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 11 September 2025. – GIT MEDIA
