Menyedari keunikan dan nilai estetika warisan lagu Gunung Kinabalu yang didengari sejak kecil, penyanyi tersohor Azharina Azhar yang juga anak jati Sabah melancarkan lagu patriotik pertamanya berjudul Gunung Kinabalu.
Lagu berkenaan hasil duet istimewa bersama sepupunya yang juga merupakan penyanyi, Daniesh Suffian.
Lagu ini dihasilkan sebagai penghormatan kepada negeri Sabah serta mengenang jasa dan legasi arwah Datuk M.Y. Ismail, tokoh keluarga yang amat disanjungi oleh kedua-dua artis ini.
Lagu ini merupakan adaptasi daripada sebuah lagu lama yang pernah dinyanyikan oleh Surianah Mansah, ibu kepada Daniesh dan artis pop terkenal Sabah pada era 1990-an.
Lagu ini telah diolah semula oleh Azharina dan Daniesh dengan sentuhan baharu yang lebih segar, dari segi susunan muzik serta lirik yang disesuaikan dengan semangat cintakan negeri dan tanah air.
Hasilnya adalah sebuah karya kontemporari yang memancarkan jati diri rakyat Sabah sambil mengekalkan nilai warisan budaya tempatan.
Azharina menyatakan rasa syukur dan bangganya kerana dapat terlibat dalam projek ini.
Baginya, ini bukan sekadar pencapaian profesional tetapi juga satu kenangan peribadi yang sangat mendalam.
“Ini adalah lagu patriotik pertama saya dan saya amat bersyukur kerana dapat menyanyikannya sebagai anak Sabah.
“Lebih membahagiakan, saya dapat bekerjasama dengan sepupu saya sendiri, Daniesh. Kami sangat rapat, jadi projek ini terasa sangat istimewa.
“Saya harap akan ada lebih banyak kolaborasi seperti ini pada masa hadapan kerana ia mengangkat warisan keluarga dan tanah kelahiran kami,” katanya.
Daniesh turut berkongsi pengalaman bekerja dengan Azharina sebagai sesuatu yang sangat bermakna dalam perjalanan seninya.
Bagi Daniesh, berkolaborasi dengan Azharina bukan sekadar peluang profesional, tetapi satu momen keluarga yang penuh emosi dan kenangan.
“Projek ini memberi saya peluang baharu dalam karier. Bekerjasama dengan Azharina, yang juga sepupu saya sendiri, membawa rasa istimewa.
“Kami dapat merasakan chemistry yang kuat sepanjang proses rakaman. Kami juga menerima banyak maklum balas positif daripada peminat sejak beberapa cover lagu kami dimuat naik di TikTok dan media sosial lain.
“Ramai yang menyokong dan meminta kami teruskan kerjasama ini,” jelas Daniesh.
Tambah Azharina, Gunung Kinabalu dipilih sebagai tajuk dan tema utama lagu ini kerana ia merupakan simbol kekuatan, ketabahan dan kebanggaan rakyat Sabah.
Gunung ini bukan sekadar ikon geografi, tetapi lambang jati diri dan semangat rakyat negeri di bawah bayu.
Lagu “Gunung Kinabalu” akan dilancarkan secara rasmi pada 3 September 2025, bersempena sambutan Hari Malaysia. Ia boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Video muzik rasmi turut akan dilancarkan serentak dan dijangka menjadi antara tontonan utama sempena Hari Malaysia tahun ini. – GIT MEDIA
You may also like
-
Sombr Muncul Dengan I Barely Known Her – Laluan Kerjaya Seni Makin Bergaya Calon MTV Video Music Award 2025
-
SocialCeleb Tidak Kompromi Soal Kualiti – Lifetelco perkenal platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia
-
Ziana Sempat Teman Arwah Bapa Tidur – Amat Sedih Kerana Hilang Sepotong Doa
-
Anuar Zain Syukur Urusan Jenazah Arwah Bapa Dipermudah – Bapa Insan Penyayang
-
Pak Zain Meninggal Dunia – Ziana, Anuar Kehilangan Bapa Tersayang