February 9, 2025

“Saya Tak Habis Cakap,” kata Mark

SHAH ALAM: Penyanyi dari Filipina Mark Adam sedih apabila namanya tular dan dituduh mempersenda saiz tubuh pengacara Big Stage Sherry Alhadad ketika siaran langsung malam semalam.

Dia berkata bukan niatnya untuk melakukan body shaming terhadap bintang berbakat besar tu malah memberitahu Sherry adalah kenalan rapatnya.

“Sebenarnya kata-kata saya tidak habis pada malam tadi. Saya patutnya sambung Sherry adalah nama besar dalam industri.

“Saya memang tidak ada niat langsung untuk mempermainkan saiz badan Sherry sebab itu saya tidak fikir perkara ini akan timbul,” katanya dalam nada kesal.

Mark memberitahu Gayah, dia sudahpun menghubungi Sherry dan pengacara itu juga tidak mengambil hati.

Bagi Mark, dia sangat kagum dengan kredibiliti Sherry dan tidak mungkin akan mempersenda rakannya sendiri.

Dia pada masa sama memohon maaf kepada semua pihak dan individu berbadan besar jika mereka terkilan dengan apa yang dikatakan.

“Saya minta maaf dan saya tidak ada niat menghina sesiapa,” katanya.

Foto: Instagram @astrogempak

Mark melontarkan komen berkenaan selaku juri jemputan terhadap seorang daripada peserta yang selesai membuat persembahan.

Dia dipetik berkata, Big Stage bukan saja sebuah pentas besar bagi setiap peserta tetapi pengacara juga besar.

Kata-kata Mark mengundang tawa dalam kalangan penonton dan Alif selaku rakan pengacara menyambung Sherry seorang yang berbakat besar.

Nama Mark Adam terus panas apabila netizen menyerang dirinya dan tidak puas hati menerusi laman sosial Twitter sejak malam tadi.

Antara luahan netizen di laman Twitter

Gayah percaya Mark ikhlas dan dia tidak ada niat yang tidak baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts