Foto: Azrul Rafie
SHAH ALAM: Komposer dan penyanyi berpengalaman luas, Ajai berkata setiap peserta perlu kuat fizikal dan mental apabila bertanding.
Dia yang banyak mencipta lagu malar segar dan hits berkata, apabila membuat keputusan menyertai pertandingan, seseorang itu perlu melakukannya dengan sebaik mungkin.
“Apa juga perasaan, masalah atau keadaan, peserta kena kuat fizikal dan mental.
” Jangan biarkan isu sekeliling mengganggu hingga menjejaskan peluang dalam pertandingan,” katanya yang hadir sebagai juri jemputan program Big Stage 2019 minggu ketiga.
Pada program Ahad lalu yang disiarkan di Astro Ria dan Ria HD, seorang peserta Dinda Permata gagal menyanyikan lagu tugasan dengan baik dan mengalirkan air mata.
Peserta dari Indonesia itu mula lupa lirik sebaik membuka mulut kemudian menangis beberapa kali sebelum meneruskan nyanyian.
Meskipun, memberikan alasan teringat dan rindukan ibunya, keadaan itu tidak profesional bagi seorang penyanyi apatah lagi dalam satu pertandingan.
Akibatnya dia disingkirkan namun bernasib baik apabila diberikan peluang mengganti tempat seorang peserta iaiti Aziz Harun yang menarik diri.
Aziz pula berkata tawaran belajar yang dinantikan selama ini tidak boleh dilepaskan setelah pernah gagal mendapat tempat di universiti berkenan sebelum ini.
Dia akan menyambung pengajian di sebuah universiti di Eropah pertengahan bulan ini.
“Saya minta maaf kepada semua pihak, saya tahu ramai yang mahukan tempat ini dan juga pihak Astro kerana saya perlu buat keputusan ini.
“Saya juga tetap akan buat keputusan sama walaupun mendapat markah tinggi sejak minggu pertama,” katanya.
Dia menafikan membuat keputusan itu kerana kedudukannya yang tidak memuaskan dan sering berada di tangga tiga tercorot.
Sementara itu, Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad berkata, Astro menerima keputusan itu dengan hati yang berat.
“Kita sudah beberapa kali berbincang dengan Aziz dan itu keputusan yang terbaik.
“Tidak ada guna kalau kita tetap bertegas andai ia akan mengganggu kosentrasi dan tumpuan dalam pertandingan,” katanya.
Gayah harap Big Stage 2019 akan terus meriah. Gayah seronok sebab telahan Gayah mengenai Oppa nampaknya benar. Makin mencuri hati.