Pernah Menuju Puncak, Sahri Tidak Kisah Untuk Bangkit Dan Mula Semula

KUALA LUMPUR: Pernah mengecapi kemanisan meraih kemenangan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi Sahri mengakui perjalanan lebih dua dekad dalam industri muzik bukan sentiasa indah, malah pernah melalui detik dipandang sepi sehingga terpaksa mencari rezeki di belakang tabir.

Namun, pengalaman pahit itu tidak pernah memadamkan kecintaannya terhadap dunia nyanyian. Kini, bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama (AF1) itu bersedia membuka lembaran baharu menerusi kempen BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni anjuran The Vazz Society yang berlangsung pada 16 November lalu di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH).

Pemilik nama sebenar Sahri bin Mohd Sarip itu berkata, keputusannya meninggalkan pekerjaan pada April lalu dibuat bagi memberikan tumpuan semula terhadap kerjaya seni yang sudah sebati dengan dirinya sejak 2003.

“Orang mungkin ingat saya sudah berhenti menyanyi. Sebenarnya minat itu tidak pernah hilang. Cuma perjalanan hidup membawa saya ke arah berbeza. Sekarang saya mahu kembali kerana menyanyi tetap menjadi sebahagian daripada jiwa saya,” katanya.

Mengimbas perjalanan seni, Sahri mula mencuri perhatian sebagai peserta separuh akhir Akademi Fantasia musim pertama (AF1) pada 2003 sebelum merakamkan lagu Memori Bahagia, Hanya Untukmu dan Apa Rahsiamu menerusi album Evolusi 2 pada 2004.

Lagu Memori Bahagia ciptaan Adnan Abu Hassan dan Faris kemudian berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik kategori Balada pada 2005, tahun yang sama dia menerima pencalonan Artis Harapan pada Anugerah Industri Muzik ke-12 (AIM12).

Kemuncak pencapaiannya hadir pada 2007 apabila lagu Izinku Pergi dinobatkan sebagai pemenang Kategori Balada pada AJL ke-22, sekali gus membuktikan kemampuan vokalnya untuk bersaing dalam industri muzik tanah air.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, Sahri tidak terkecuali daripada melalui pengalaman perit termasuk pernah menerima ejekan penonton ketika membuat persembahan serta kehilangan nenek tersayang ketika sedang menjayakan persembahan di Kedah.

“Saya pernah menyanyi tanpa bayaran, pernah juga menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk beberapa lagu. Malah, pernah diboo ketika membuat persembahan. Semua itu mengajar saya bahawa menjadi penyanyi bukan hanya tentang populariti, tetapi sejauh mana kita mampu bertahan,” katanya.

Ketika undangan nyanyian semakin berkurangan sekitar 2011, Sahri mengambil keputusan meneroka bidang produksi televisyen dan berpeluang menimba pengalaman menerusi program hiburan terbitan Astro, antaranya Gegar Vaganza dan Kilauan Emas.

Penglibatan berkenaan memberikan kelebihan tersendiri kepadanya apabila bukan sahaja memahami dunia nyanyian dari perspektif seorang penghibur, malah mengetahui selok-belok penerbitan rancangan hiburan, termasuk cabaran yang dihadapi tenaga produksi di belakang kamera.

“Saya pernah berada di depan kamera sebagai penyanyi dan bekerja di belakang tabir untuk memastikan sesebuah program berjalan lancar. Pengalaman itu membuka mata saya bahawa industri hiburan sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang penonton lihat di televisyen,” jelasnya.

Selain lagu yang melonjakkan namanya, Sahri turut merakamkan lagu tema kempen 1M4U pada 2012, Melaka Maju Negeriku Sayang pada 2014, Terlambat ciptaan K A Bhima pada 2017 serta Cherita Chinta Kita ciptaan Fazo pada 2024. Dia juga pernah mencuba nama pentas Sahr1 pada 2024, namun kembali menggunakan nama Sahri atas pilihan peminat.

Mengulas perancangan terbaharu, Sahri berkata, dia kini sedang mempersiapkan single baharu yang disasarkan untuk dilancarkan sebelum Ramadan 2027 sebagai langkah memperkenalkan semula muziknya kepada pendengar, termasuk generasi muda.

“Saya tidak mahu kembali semata-mata untuk mengimbau nostalgia. Saya mahu orang mendengar Sahri hari ini, dengan pengalaman dan kematangan yang saya miliki. Saya percaya bakat tidak mempunyai tarikh luput selagi kita masih berusaha,” katanya.

Penyertaan Sahri dalam kempen BANGKIT bersama Fatin Faishal dan Pija dilihat sebagai platform untuk mengangkat semula bakat penyanyi yang masih mempunyai kemampuan serta potensi untuk terus menyumbang kepada industri muzik tempatan.

“Saya tidak pernah berhenti menjadi penyanyi. Saya cuma pernah berhenti berada di pentas. Kali ini, saya mahu bangkit dan biarkan karya saya kembali berbicara,” katanya mengakhiri perbualan. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *