Lima Suara Hebat Bersatu, A Night of Soul Bakal Gegarkan MIECC Disember Ini

KUALA LUMPUR: Lima nama besar dengan karakter vokal dan pengaruh muzik tersendiri bakal bergabung menerusi konsert A Night of Soul yang dijadual berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan pada 12 Disember depan.

Menghimpunkan penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan bersama empat bintang tanah air iaitu Datuk Ziana Zain, Datuk Amy Search, Siti Nordiana dan Khai Bahar, konsert berkenaan menjanjikan pertemuan pelbagai genre muzik dalam sebuah persembahan istimewa.

Lebih menarik, sambutan awal terhadap konsert anjuran Starlika dan Astana Global itu cukup memberangsangkan apabila lebih 65 peratus tiket dilaporkan sudah terjual meskipun masih berbaki beberapa minggu sebelum acara berlangsung.

Perkembangan berkenaan sekali gus memperlihatkan bahawa persembahan yang mengutamakan kekuatan vokal serta penghayatan lagu masih mempunyai tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Bertemakan Where Every Voice Has a Soul, and Every Soul Has a Story, konsert itu mengangkat keunikan setiap penyanyi menerusi perjalanan seni serta identiti muzik yang berbeza.

Cakra Khan yang cukup dikenali menerusi vokal serak dan penuh emosi dijangka menjadi antara tarikan utama, khususnya buat peminat yang merindui persembahannya secara langsung di Malaysia.

Tidak kurang hebatnya, Ziana Zain yang sinonim dengan persembahan bertenaga serta kemampuan vokal luar biasa bakal membawa sentuhan balada yang sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik tanah air.

Kehadiran Amy Search pula pastinya menambah warna berbeza apabila legenda rock berkenaan berkongsi pentas dengan penyanyi daripada latar genre yang berlainan.

Sementara itu, Siti Nordiana dan Khai Bahar melengkapkan gabungan berkenaan dengan kekuatan masing-masing dalam menyampaikan lagu berunsur romantis dan penuh penghayatan.

Gabungan berkenaan turut membuka ruang kepada peminat pelbagai generasi untuk menikmati persembahan artis kegemaran mereka dalam satu acara, tanpa perlu memilih antara muzik rock, pop mahupun balada.

Dalam masa sama, konsert itu turut memberikan peluang kepada penyanyi baharu, Nabiha Aimi untuk memperkenalkan bakatnya apabila diberikan tanggungjawab membuka tirai persembahan.

Penyanyi berkenaan dilaporkan berazam memberikan persembahan terbaik bagi membuktikan kemampuannya ketika berkongsi pentas dengan barisan artis yang jauh lebih berpengalaman.

Penganjur turut meletakkan kekuatan vokal, mutu persembahan dan penghayatan karya sebagai antara elemen utama yang ingin diketengahkan menerusi A Night of Soul.

Perincian mengenai konsert itu dikongsikan dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 17 November lalu.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan berkenaan, tiket ditawarkan dalam tujuh kategori iaitu Pearl (RM188), Gold (RM288), Ruby (RM388), Platinum (RM488), Diamond (RM588), VIP (RM688) dan VVIP (RM888).

Tiket boleh didapati menerusi platform Ticketmelon, manakala A Night of Soul dijangka menjadi antara acara muzik penghujung tahun yang menarik perhatian peminat dua negara. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *