Bergelar Juara Bukan Jaminan, Pija Akui Perlu Usaha Dan Bijak Atur Kerjaya Seni Untuk Bangkit

KUALA LUMPUR: Pernah menerima bayaran persembahan serendah RM500 sehingga mencecah RM20,000, penyanyi Pija Yasin mengakui perjalanan dalam industri hiburan bukan sekadar diukur melalui populariti atau nilai bayaran, sebaliknya turut menuntut kesabaran, pengorbanan dan kebijaksanaan menguruskan kerjaya.

Malah, juara program Mentor musim pertama terbitan TV3 itu tidak terkecuali daripada berdepan pengalaman pahit termasuk pernah ditipu serta menerima tawaran persembahan yang akhirnya tidak berjalan seperti dijanjikan.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nor Afizah Mohd Yasin itu enggan menjadikan pengalaman berkenaan sebagai alasan untuk berundur, sebaliknya terus mempertahankan kecintaannya terhadap dunia seni yang sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya.

“Industri ini banyak mengajar saya tentang kehidupan. Bukan semua orang yang kita jumpa mempunyai niat baik dan bukan semua perkara berjalan seperti dijanjikan. Saya pernah ditipu, pernah berdepan situasi yang mengecewakan, tetapi semua itu menjadikan saya lebih berhati-hati dan matang,” katanya.

Pija yang bakal membuat persembahan menerusi BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni anjuran The Vazz Society pada 16 November lalu di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) berkata, pengalaman sepanjang bergelar anak seni turut membuka peluang kepadanya untuk memahami industri hiburan daripada pelbagai sudut.

Bukan sekadar memiliki kemampuan vokal, Pija turut menguasai aspek pengurusan persembahan, komunikasi bersama peminat, rundingan dengan penganjur serta urusan profesional yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab seorang penghibur.

“Orang nampak penyanyi naik pentas, menyanyi dan kemudian pulang. Hakikatnya banyak perkara yang perlu diuruskan. Kita kena tahu berkomunikasi, mengendalikan persembahan dan memahami kehendak penganjur. Semua ini pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang,” jelasnya.

Mengimbas pencapaian seni, Pija pernah menjuarai pertandingan Bintang Sensasi Menara Kuala Lumpur sebelum mencipta nama sebagai juara Mentor musim pertama TV3, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk mengembangkan bakat nyanyiannya.

Kejayaan itu turut disusuli pencalonan kategori Artis Baru Popular dalam Anugerah Bintang Popular selain menerima pengiktirafan Artis Harapan Sabah menerusi Anugerah Artis Pencapaian Sabah. Pija juga pernah merakamkan lagu Luka ciptaan DJ Uno daripada kumpulan Ahli Fikir.

Tidak hanya mencipta nama di pentas tempatan, Pija turut membawa bakatnya ke peringkat antarabangsa apabila menyertai World Championships of Performing Arts (WCOPA) dan Asia’s Got Talent bersama adik-beradiknya menerusi kumpulan The 15.

Menurut Pija, pengalaman bersaing di pentas antarabangsa memberikan perspektif berbeza mengenai dunia persembahan, khususnya dari segi disiplin, keyakinan diri, kerjasama berkumpulan dan keberanian berhadapan dengan peserta daripada pelbagai negara.

“Bila kita berada di pentas antarabangsa, kita sedar bakat sahaja tidak mencukupi. Disiplin, persediaan dan keyakinan sangat penting. Pengalaman bersama The 15 menjadi antara kenangan paling berharga kerana saya dapat berkongsi pentas dan perjuangan seni dengan adik-beradik sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Pija tidak menafikan pernah menerima bayaran serendah RM500 untuk persembahan tertentu, khususnya membabitkan program badan bukan kerajaan (NGO) dan acara kebajikan, meskipun kadar bayaran tertinggi yang pernah diterimanya mencecah RM20,000.

“Saya pernah menerima RM500 untuk persembahan amal dan ada juga sekitar RM1,000. Itu bukan bermaksud harga persembahan saya semurah itu, tetapi saya memahami tujuan sesebuah program kebajikan. Kalau semuanya mahu dinilai dengan wang, di mana letaknya nilai kemanusiaan?

“Namun, pada masa sama, masyarakat juga perlu memahami bahawa penyanyi mempunyai komitmen, pengalaman dan kos tersendiri. Seni itu ada nilainya dan perlu dihargai dengan sewajarnya,” tegasnya.

Mengulas penyertaannya dalam kempen BANGKIT bersama Sahri dan Fatin Faishal, Pija menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai usaha bermakna untuk memberikan perhatian kepada penyanyi yang masih mempunyai kemampuan serta pengalaman, tetapi memerlukan lebih banyak ruang untuk terus berkarya.

“Saya percaya setiap penyanyi ada perjalanan dan perjuangan masing-masing. Ada masanya kita berada di atas, ada masanya kita diuji. Tetapi selagi bakat dan semangat itu masih ada, kita berhak untuk terus melangkah.

“Bagi saya, bangkit bukan bermaksud kita pernah gagal. Bangkit bermaksud kita masih percaya bahawa perjuangan seni ini belum selesai,” katanya. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *