KUALA LUMPUR: Pernah merakamkan empat single bersama komposer terkenal dan muncul dalam beberapa program realiti televisyen, penyanyi Fatin Faishal mengakui perjalanan membina nama dalam industri muzik tidak semudah yang dibayangkan apabila karya dihasilkan masih belum berjaya melonjakkan popularitinya seperti diharapkan.
Malah, pemilik nama sebenar Nurfatin Najwa Mohd Faishal itu pernah berdepan kekecewaan apabila tidak berjaya meneruskan saingan sehingga episod ketiga program realiti Lagu Cinta Kita musim kedua terbitan TV3, selain berdepan kesukaran mendapatkan ruang promosi lebih meluas untuk lagu-lagunya.
Bagaimanapun, pengalaman berkenaan tidak pernah mematahkan semangat penyanyi yang pernah menerima pengiktirafan Artis Baru Baek ERA pada Mei 2021 itu untuk terus mengejar impian dalam bidang nyanyian.
“Saya pernah merasakan seolah-olah perjalanan seni saya terhenti sebelum sempat berkembang. Kita sudah ada lagu, sudah bekerja dengan komposer hebat, tetapi apabila peluang promosi terhad, orang tidak tahu apa yang kita hasilkan. Itu antara perkara paling mengecewakan sebagai penyanyi,” katanya.

Fatin yang bakal membuat persembahan menerusi BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni pada 16 November lalu anjuran The Vazz Society di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) berkata, penyertaannya dalam kempen berkenaan dianggap sebagai peluang kedua untuk memperkenalkan semula bakat serta identiti muziknya kepada masyarakat.
Mengimbas perjalanan seni, Fatin pernah bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman selain menyertai program All Together Now Malaysia terbitan Astro serta beberapa pertandingan nyanyian lain yang banyak membentuk keyakinan dirinya sebagai penghibur.
Meskipun belum mencapai tahap populariti yang diimpikan, Fatin berjaya menghasilkan empat single iaitu Sekaliku Bicara ciptaan Zul Mahat dengan lirik Aucu, Kita Sama ciptaan Amylea, Rasa dan Waktu hasil sentuhan Aiman Zaidi dan Barr Hadif serta Doktor Cinta ciptaan Shazee Ishak dan Audi Mok.
Antara karya berkenaan, Sekaliku Bicara, Kita Sama dan Rasa dan Waktu pernah mendapat perhatian melalui siaran radio serta digunakan sebagai lagu sisipan dalam drama televisyen di TV3 dan Astro.

Fatin turut berpeluang bekerjasama dengan beberapa nama berpengalaman dalam industri muzik termasuk Audi Mok dan Amylea, selain terlibat dalam rakaman lagu khas Hari Malaysia berjudul Satukan Harapan bersama Qody Rany, Megat Rahim dan Ezwan Ariff.
“Apabila dapat bekerja dengan komposer dan penerbit muzik yang berpengalaman, saya rasa sangat bertuah. Tetapi dalam masa sama, saya belajar bahawa menghasilkan lagu yang bagus sahaja belum tentu cukup untuk memastikan seseorang penyanyi dikenali.
“Bakat perlu diberikan ruang, karya memerlukan promosi dan penyanyi juga perlukan sokongan berterusan. Kalau tidak, banyak lagu yang sebenarnya berpotensi akhirnya hanya didengari oleh kelompok kecil pendengar,” katanya.
Menurut Fatin, kegagalan meneruskan saingan dalam Lagu Cinta Kita musim kedua menjadi antara pengalaman yang cukup memberikan kesan kepadanya, namun dia memilih untuk menerima keputusan itu sebagai pengajaran bagi memperbaiki kemampuan diri.

Ketika perjalanan seni tidak berkembang seperti dirancang, Fatin mula memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan selain mengembangkan kemahiran sebagai pengacara dan hos siaran langsung untuk pelbagai produk menerusi kerjasama bersama artis serta pempengaruh media sosial.
Pengalaman berkenaan bukan sahaja membuka sumber pendapatan lain, malah memberikan kelebihan kepadanya dari segi komunikasi, pengacaraan, keyakinan berhadapan kamera dan kebolehan mengendalikan sesi promosi secara langsung.
“Saya belajar untuk tidak bergantung kepada satu bidang sahaja. Bila peluang menyanyi tidak banyak, saya cuba membina kerjaya lain. Tetapi walaupun sibuk dengan perniagaan dan pengacaraan, hati saya tetap pada muzik. Saya masih mahu menyanyi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fatin mendedahkan bayaran persembahan paling rendah pernah diterimanya adalah RM500, manakala bayaran tertinggi mencecah RM4,000, bergantung kepada jenis acara, tempoh persembahan, lokasi dan skop tugasan.

Mengulas penyertaannya dalam kempen BANGKIT bersama Sahri dan Pija Yasin, Fatin berharap inisiatif berkenaan dapat membuka mata masyarakat serta penggiat industri terhadap bakat penyanyi yang masih mempunyai kemampuan, tetapi belum memperoleh peluang sewajarnya untuk menyerlah.
“Saya bukan bermula dari kosong. Saya pernah berada dalam industri, pernah menghasilkan karya dan pernah merasai peluang untuk dikenali. Tetapi perjalanan saya terhenti sebelum saya sempat pergi lebih jauh.
“Kini, saya hadir dengan pengalaman, kematangan dan semangat baharu untuk kembali BANGKIT,” katanya. – GIT MEDIA
