KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun ke-19 Suria FM dijangka lebih meriah apabila stesen radio popular itu kembali mengangkat dunia hiburan ke pentas menerusi pementasan komedi muzikal, Panggung Suria: Aku Mat Rock, pada 29 November ini.
Selepas kejayaan penganjuran edisi sulung pada Jun lalu, Panggung Suria kembali dengan konsep lebih berwarna, menggabungkan komedi, muzik rock dan kisah kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid, atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, sebelum ini menyifatkan sambutan positif penonton terhadap Panggung Suria sebagai dorongan untuk pihaknya terus memperkembangkan platform hiburan berkenaan.
Menurutnya, maklum balas yang diterima selepas pementasan pertama membuktikan pendekatan membawa penyampai radio keluar daripada konti dan berinteraksi secara langsung dengan penonton mempunyai tarikan tersendiri.
Malah, DJ Lin pernah menyatakan keterbukaan Suria FM untuk memperluaskan penganjuran Panggung Suria, termasuk mempertimbangkan cadangan siri jelajah susulan sambutan menggalakkan daripada peminat.

Kini, kesinambungan usaha berkenaan diterjemahkan menerusi Aku Mat Rock, sebuah naskhah yang membawa penonton mengikuti perjalanan tiga beradik dari kampung yang nekad berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar impian menjadi bintang rock.
Namun, perjalanan mereka tidak semudah disangka apabila cita-cita, konflik kekeluargaan dan pelbagai cabaran kehidupan mula menguji hubungan persaudaraan. Kisah ini menjanjikan gabungan gelak tawa, emosi dan mesej kehidupan yang disampaikan secara santai.
Berteraskan tema ‘Komedi Rakyat, Dari Rakyat Untuk Rakyat’, pementasan kali ini menghimpunkan lapan penyampai Suria FM iaitu Ajak, Fad, Chiwan, Elly, Cik Piah, Kai, Irsyad dan DJ Lin sendiri yang bakal memperlihatkan sisi berbeza mereka sebagai penghibur pentas.
Tidak cukup dengan barisan penyampai popular, Aku Mat Rock turut diperkuatkan dengan penampilan istimewa pelakon berpengalaman Khir Rahman, pelawak Atu Zero serta pendakwah selebriti PU Amin yang dijangka menambah warna kepada persembahan berkenaan.
Elemen muzikal pula bakal dimeriahkan dengan persembahan khas daripada Baggio Damasutra, Zarith Mega, Isa Gravity dan Qody, sekali gus melengkapkan konsep hiburan yang mengangkat semangat muzik rock serta komedi rakyat.

Lebih daripada sekadar pementasan hiburan, Panggung Suria turut memperlihatkan usaha stesen radio berkenaan mempelbagaikan kandungan kreatif, selain menyediakan ruang untuk bakat tempatan diketengahkan melalui persembahan secara langsung.
Selepas 19 tahun menemani pendengar menerusi gelombang radio, penganjuran sebegini juga menjadi peluang buat Suria FM mengukuhkan hubungan dengan peminat yang selama ini memberikan sokongan terhadap perjalanan stesen berkenaan.
Panggung Suria: Aku Mat Rock akan berlangsung pada Ahad, 29 November 2026, jam 8.30 malam di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1, Kuala Lumpur. Tiket ditawarkan pada harga bermula RM59 menerusi platform CloudJoi, tertakluk kepada caj tambahan.
Dengan barisan pelakon dan penghibur yang pelbagai, Aku Mat Rock dijangka menjadi antara acara menarik yang meraikan perjalanan 19 tahun Suria FM dengan semangat hiburan rakyat yang menggabungkan nostalgia, persahabatan, kekeluargaan dan muzik. – GIT MEDIA
