Konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke Lima – Pementasan Semula 30 Karya Pilihan

KUALA LUMPUR: Sifu muzik tanah air, Datuk M. Nasir bakal menterjemahkan perjalanan lima dekad penglibatannya dalam seni muzik menerusi konsert berskala megah, Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 pada 5 Disember 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya.

Persembahan khas yang dijadualkan berlangsung jam 8.30 malam itu disifatkan sebagai manifestasi keraian legasi dan pemikiran seniman agung berkenaan, yang telah membentuk sebahagian daripada identiti muzik Melayu moden sejak 1979.

Kelainan utama konsert berdurasi kira-kira 150 minit ini terletak pada pementasan semula 30 karya pilihan M. Nasir yang diberi nafas baharu menerusi susunan muzik simfoni. Persembahan tersebut akan menggabungkan vokal dan tenaga pentas M. Nasir bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pimpinan Eric Lee Yin Fah, manakala susunan simfoni dihasilkan oleh pengarah muzik berpengalaman, Mohd Rafi Shafie.

Langkah mempertemukan kekuatan lagu-lagu beliau dengan orkestra penuh dijangka menghasilkan pengalaman muzikal yang lebih sinematik, dinamik, dan emosional buat para penonton.

Dari sudut pengarahan artistik, persembahan kali ini mengangkat pendekatan surrealisme yang disuntik elemen falsafah serta simbolisme. Pendekatan ini dipilih sejajar dengan karakter seni M. Nasir yang terkenal dengan penulisan lirik puitis, imaginatif, dan berlapis makna.

Konsert ini meneruskan kesinambungan dua siri sedia ada iaitu Siri 1 (2017): Kembara Ke Solo di MaTiC yang menelusuri fasa awal perjalanan seni beliau. Siri 2 (2019): Search, Wings & Rock ‘N’ Roll di Auditorium DBKL yang mengupas babak muzik rock tempatan.

Produksi ini diasaskan atas idea asal Ismail Shariff, dengan Shabromo bertindak sebagai Pengarah Konsert dan Artistik, manakala Keon Omar daripada Luncai Emas Sdn Bhd menggalas tanggungjawab sebagai Penerbit Eksekutif. Konsert ini turut mendapat sokongan Dana Kandungan Kreatif daripada MyCreative Ventures serta Istana Budaya selaku Rakan Strategik.

Selain persembahan utama, program sampingan seperti pameran dan jualan karya seni kanak-kanak serta sesi bual bicara penerbitan buku berkaitan karya muzik M. Nasir turut diadakan di ruang legar Istana Budaya.

Tiket persembahan bakal mula dijual pada Jumaat, 21 Ogos 2026, jam 3.00 petang menerusi platform rasmi www.ilassotickets.com.

Bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada penonton, tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori tempat duduk yang merangkumi zon Stalls, Grand Circle dan Upper Circle. Di zon Stalls, harga tiket ditawarkan pada RM1,588 (Kategori A), RM1,188 (Kategori B), RM988 (Kategori C) dan RM838 (Kategori D).

Sementara itu, bagi penonton yang memilih zon Grand Circle, tiket boleh didapati pada harga RM638 (Kategori E) dan RM538 (Kategori F). Zon Upper Circle pula menawarkan pilihan lebih mampu milik dengan harga RM338 (Kategori G) dan RM288 (Kategori H).Menempah Tiket Konsert. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *