KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) melabuhkan tirainya dengan Tiwikarma nyanyian KOI dinobatkan sebagai Juara Lagu, sekali gus menutup sebuah malam yang bukan sahaja meraikan karya terbaik tetapi turut sarat dengan nostalgia, kejutan dan beberapa keputusan yang mengundang perdebatan.
Memasuki usia empat dekad, AJL bukan lagi sekadar pertandingan mencari sebuah lagu terbaik. Pentas ini sudah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik tanah air.
Justeru, apabila AJL40 berlangsung, ekspektasinya sudah tentu berbeza.Dan pada Min, antara kekuatan terbesar AJL40 sebenarnya hadir menerusi segmen-segmen khas yang berjaya menghubungkan nostalgia AJL dengan generasi muzik hari ini.
Ziana Zain & Amelina Curi Tumpuan

Segmen pembukaan menampilkan Ziana Zain dan Amelina ternyata antara momen yang mencuri perhatian. Dua nama besar daripada era muzik yang cukup signifikan hadir dengan aura tersendiri.
Karisma mereka membuktikan bahawa pengalaman dan stage presence bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat. Kemunculan mereka memberikan energi yang tepat untuk membuka sebuah malam sebesar AJL40.
Namun, satu lagi momen yang cukup signifikan adalah apabila Datuk Francisca Peter, juara Anugerah Juara Lagu edisi pertama, kembali mengalunkan lagu Sekadar Di Pinggiran. Ada nilai sentimental yang cukup besar di situ.
Daripada pentas pertama AJL sehingga sambutan edisi ke-40, kemunculan Francisca seolah-olah mengingatkan kita sejauh mana perjalanan sebuah acara muzik yang sudah melahirkan begitu banyak karya hebat sepanjang empat dekad.
Kejutan Siti Nurhaliza & Umairah
AJL40 turut memberikan kejutan apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul bergandingan bersama Umairah menerusi lagu ikonik Cindai. Sudah tentu kemunculan Siti sahaja cukup untuk mencetuskan keterujaan. Namun kombinasi dua generasi ini menjadikan persembahan tersebut lebih bermakna.
Cindai bukan sebuah lagu biasa dalam perjalanan muzik Malaysia dan melihat karya ikonik itu dipersembahkan menerusi pertemuan dua generasi memberikan warna tersendiri kepada AJL40.
Gandingan Syamel dan Ernie Zakri, selain kemunculan Misha Omar, turut mencuri hati.
AJL40 bijak menggunakan nama-nama yang mempunyai kekuatan vokal untuk mengangkat segmen khasnya, sekali gus menjadikan keseluruhan malam bukan hanya tertumpu kepada pertandingan.

Tiwikarma – Kemenangan Yang Direstui Ramai
Bercakap mengenai keputusan, kemenangan Tiwikarma oleh KOI sebagai Juara Lagu pada penulis adalah kemenangan yang direstui ramai. Malah, karya ini memang sudah menjadi antara pilihan sejak awal.Tiwikarma mempunyai kombinasi yang diperlukan untuk menjadi sebuah karya pertandingan lirik, melodi dan bunyi yang segar.
Sejujurnya, dalam kalangan karya yang bersaing tahun ini, tidak banyak lagu yang mempunyai kombinasi kekuatan sekukuh Tiwikarma. Lagu ini mempunyai identiti dan bunyinya mudah membezakan dirinya daripada pesaing lain.
Apabila dinilai sebagai sebuah karya secara keseluruhan, Min tidak pelik sekiranya Tiwikarma mengumpul markah besar daripada barisan juri.Kemenangan yang selayaknya.
Tak Adil – Naib Juara Yang Mengundang Persoalan
Kedudukan kedua menerusi Tak Adil nyanyian Aisha Retno pula nampaknya mengundang lebih banyak persoalan. Tetapi bagi penulis, lagu ini sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri terutama daripada sudut melodi dan susunan muzik.
Tak Adil kedengaran outstanding dengan gabungan jalur pop rock yang memberikan bunyi lebih segar.
Struktur lagu, lirik dan penceritaannya juga tersusun dengan baik.Mungkin bukan pilihan semua orang untuk berada di kedudukan kedua, tetapi jika melihat kepada kekuatan karya secara keseluruhan, ada justifikasi mengapa Tak Adil mampu mengumpul markah tinggi.
Lumagad Okudika – Karya Yang Datang Dengan Resume Kuat
Tempat ketiga menjadi milik Lumagad Okudika, nyanyian dan ciptaan Reynald Guntabid, juga antara keputusan yang diterima baik. Karya ini sebenarnya datang ke AJL40 dengan resume yang sudah cukup kuat selepas meraih pengiktirafan menerusi beberapa kategori dalam AIM sebelum ini.
Muzik dan liriknya bersatu dengan kemas sementara alunan vokal Reynald yang soothing memberikan karakter tersendiri kepada lagu tersebut. Ia mungkin bukan karya yang terlalu “menjerit” meminta perhatian, tetapi kekuatannya terletak pada keseluruhan komposisi yang cukup tersusun.
Marsha Milan – Definisi Terbaik ‘Less Is More’
Kalau ada satu kemenangan yang Min rasa sukar dipertikaikan, ia adalah Vokal Terbaik milik Marsha Milan menerusi Tangisan Seorang Pendosa.
Marsha sangat outstanding.Apa yang Min suka, Marsha tidak masuk ke pentas dengan mentaliti mahu menunjukkan segala kemampuan vokalnya dalam satu persembahan. Dia bercerita.Setiap notasi digunakan dengan cantik, terkawal dan paling penting tidak berlebih-lebihan.
Seperti dijelaskan ketua juri, markah Marsha berada jauh di hadapan pencabar lain.Kadang-kadang untuk membuktikan kita penyanyi hebat, kita tidak perlu menjerit atau menunjukkan semua teknik yang kita ada. Marsha Milan adalah definisi terbaik untuk “less is more”.
Aina Abdul & Perdebatan Persembahan Terbaik
Kemenangan Aina Abdul menerusi Kamu untuk kategori Persembahan Terbaik pula menjadi antara topik paling hangat diperdebatkan netizen.Tetapi jangan lupa satu faktor penting kategori ini melibatkan undian. Sifirnya mudah. Rajin mengundi, peluang untuk menang lebih besar.
Dari sudut merit persembahan pula, penulis tetap melihat Aina sebagai calon yang layak. Effort yang diberikan besar, konsepnya jelas dan Aina memahami bagaimana mahu mencipta sebuah “AJL moment”.
Cuma penulis bersetuju pada beberapa bahagian persembahan tersebut, terutama penghujungnya, Aina sedikit overdo. Bab bagi salam? Itu sebahagian daripada karakter persembahan dan cara seseorang artis mahu menutup moment mereka di atas pentas.

Amir Masdi – Rezeki Tidak Salah Alamat
Penulis faham kekecewaan peminat Amir Masdi apabila Nurcinta tidak membawa pulang kemenangan.Mereka mempunyai hak untuk kecewa. Namun jika bercakap semata-mata mengenai karya, pada Min Nurcinta bukan antara lagu paling kuat atau outstanding dalam kelompok finalis kali ini.
Melodinya terasa familiar dan kita pernah mendengar pendekatan bunyi sebegini dalam banyak karya lain sebelum ini.Ini bukan bermaksud lagu tersebut meniru mana-mana lagu, tetapi dari segi struktur bunyi dan melodinya, ia tidak memberikan faktor kejutan yang cukup besar.
Tentang Amir sebagai penyanyi pula, Min tidak ada masalah. Vokalnya sangat baik. Dia mempunyai kualiti bintang dan paling penting, sikap serta profesionalismenya juga sudah banyak kali diuji. Tak mengapa Amir. Rezeki tidak pernah salah alamat. Ia akan sampai pada masa yang tepat.
Dayang Nurfaizah – Kita Hanya Merancang
Dayang Nurfaizah yang dilihat sebagai antara jagoan vokal AJL40 juga akhirnya tidak menjadi seperti yang diharapkan. Benarlah, kita hanya mampu merancang. Bab kesihatan berada di luar kawalan manusia.
Satu perkara yang harus dipuji adalah keberanian Dayang meneruskan perjuangan meskipun berada dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Itu sendiri memerlukan kekuatan.Jujurnya, Dayang adalah antara pilihan penulis untuk memberikan saingan dalam kategori vokal.
Jika Dayang berada pada tahap kesihatan terbaik malam itu, penulis percaya Marsha Milan mungkin terpaksa berdepan saingan yang jauh lebih sengit.
Wani Kayrie, Anda Sudah Buat Ramai Bangga
Satu lagi nama yang wajar diberikan pujian ialah Wani Kayrie. Persembahannya menarik dan vokalnya kemas. Kehadiran Wani bukan sahaja memberikan warna kepada persaingan AJL40 tetapi turut membuktikan dia serius mahu bermain di pentas pertandingan pada level sebesar AJL.
Elemen muzik yang mengambil inspirasi daripada lagu rakyat memberikan identiti kepada persembahannya, walaupun pendekatan sebegini mungkin mempunyai cabarannya tersendiri apabila dinilai daripada perspektif keaslian sesebuah karya.
Apa pun keputusannya, Wani sudah menunjukkan dia mampu berdiri sebaris dengan nama-nama besar.Percayalah Wani, anda sudah membuatkan ramai bangga.
Sissy Menjadi, Naz Seperti Tidak Temui Rentak
Bab pengacaraan AJL40 pula, Min kena cakap apa yang Min nampak.Naz kelihatan kurang selesa dan belum benar-benar menemui rentaknya pada malam tersebut.
Ada ketika penyampaiannya terasa terlalu bergantung kepada skrip sehingga energi yang cuba diberikan tidak sampai sepenuhnya kepada penonton.Apabila digandingkan dengan Sissy, perbezaan energi itu lebih mudah kelihatan.
Malah daripada aspek penampilan, sut yang dikenakan Naz juga pada Min agak biasa untuk skala acara sebesar AJL40. Ada ketika fokusnya seperti tidak sepenuhnya berada di pentas dan ini menyebabkan beberapa transisi pengacaraan terasa kurang organik.Sissy Iman pula pada Min memberikan yang terbaik.
Dia lebih selesa, spontan dan memahami bila perlu menaikkan energi serta bila perlu memberikan ruang kepada sesuatu momen untuk “bernafas”. Chemistry mungkin belum sempurna, tetapi Sissy berjaya memastikan momentum acara terus bergerak.
AJL40 – Empat Dekad Yang Masih Relevan
Secara keseluruhan, AJL40 berjaya menjadi sebuah malam yang meraikan bukan sahaja lagu terbaik tetapi perjalanan panjang industri muzik Malaysia.
Daripada Datuk Francisca Peter dan Sekadar Di Pinggiran, aura Ziana Zain serta Amelina, kejutan Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Umairah menerusi Cindai, sehinggalah generasi hari ini yang diwakili KOI, Aisha Retno, Reynald Guntabid, Aina Abdul, Marsha Milan, Amir Masdi dan ramai lagi, AJL40 menjadi titik pertemuan beberapa generasi muzik dalam satu pentas.
Ada keputusan yang diraikan.Ada keputusan yang dipersoalkan. Ada persembahan yang menjadi. Ada juga yang mungkin tidak mencapai ekspektasi tetapi bukankah itu yang membuatkan Anugerah Juara Lagu sentiasa menarik untuk dibicarakan?
Selepas 40 edisi, orang masih menunggu keputusannya, masih berdebat tentang lagu terbaik, masih bercakap tentang vokal, persembahan, fesyen dan pengacara.
Itu sendiri membuktikan satu perkara. AJL masih relevan dan untuk Tiwikarma – KOI, tahniah. Malam AJL40 adalah malam mereka. – GIT MEDIA
