Isu Rocky: Peguam Shah Kenal Pasti Individu, Pempengaruh Untuk Tindakan Sivil

KLANG: Beberapa individu termasuk pempengaruh dipercayai telah dikenal pasti untuk kemungkinan berdepan tindakan sivil susulan kenyataan dan hantaran yang didakwa memfitnah Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, berkaitan kontroversi penangkapan anjing dikenali sebagai Rocky.

Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali yang berkata pihaknya sedang meneliti kandungan-kandungan yang pernah dimuat naik sepanjang isu tersebut menjadi perhatian ramai.

Menurutnya, tindakan berkenaan bukan semata-mata berkait soal reputasi, sebaliknya turut mengambil kira kesan terhadap keselamatan Muhammad Shah, ahli keluarga serta individu di sekelilingnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pertuduhan yang dibacakan terhadap anak guamnya tidak menyebut Muhammad Shah sebagai individu yang membunuh, menyeksa atau memukul Rocky sehingga menyebabkan kematian.

“Ramai sebenarnya yang telah menulis pelbagai perkara. Mereka datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang pernah duduk dalam Parlimen, sekarang tidak lagi pun ada,” katanya memetik laporan Kosmo!

Dalam pada itu, Muhammad Rafique turut membuka ruang kepada pihak yang sebelum ini melabelkan Muhammad Shah sebagai kejam atau ‘pembunuh haiwan’ untuk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka. Namun, beliau menjelaskan bahawa permohonan maaf yang dibuat tidak semestinya menggugurkan kemungkinan tindakan undang-undang.

Menurutnya, perkara tersebut akan dinilai berdasarkan bentuk permohonan maaf, kandungan kenyataan terdahulu serta impak yang telah berlaku. Beliau berkata kenyataan yang tersebar di media sosial bukan sahaja memberi tekanan kepada Muhammad Shah, malah didakwa menyebabkan keluarga, rakan-rakan dan penduduk di kawasan berkenaan berdepan ancaman keselamatan.

Muhammad Rafique turut menegaskan supaya isu berkenaan tidak diputar sehingga membawa kepada sentimen yang menyalahkan sesuatu kaum atau komuniti secara keseluruhan. Pada masa sama, beliau memaklumkan pihaknya masih belum menerima perkembangan terkini berhubung laporan polis berkaitan ancaman yang didakwa diterima Muhammad Shah sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan status Muhammad Shah yang sebelum ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen. Menurutnya, Muhammad Shah bukan kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang atau mana-mana jabatan kerajaan, sebaliknya hanya terlibat sebagai sukarelawan.

Terdahulu, Muhammad Shah bersama S. Roghini Devi, 42, yang dikatakan pemilik Rocky, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan berkaitan layanan terhadap haiwan tersebut.

Muhammad Shah didakwa secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali gelung sehingga menyebabkan kesakitan, manakala Roghini pula didakwa menarik anjing sama secara tidak munasabah.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *