Sebak Ibu Bapa Tak Sempat Lihat – Ziana Zain Anggap Gelaran Datuk Satu Amanah

SHAH ALAM: Lebih 30 tahun mengharungi jatuh bangun dunia seni, Datuk Ziana Zain mengakui masih terasa seperti bermimpi apabila menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk.

Lebih bermakna, pengiktirafan berkenaan hadir daripada negeri kelahirannya sendiri, Melaka, sekali gus menjadikan momen itu cukup dekat di hati penyanyi bersuara lantang berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah, lebih 30 tahun saya berjuang dalam dunia seni dan lebih istimewa apabila penghargaan ini datang daripada tempat kelahiran saya sendiri, Melaka.

“Saya sangat bersyukur. Rasa macam mimpi,” kata penyanyi lagu Syurga Di Hati Kita itu kepada GIT MEDIA

Bagi Ziana, gelaran yang diterima bukan sekadar simbol penghargaan terhadap perjalanan panjang kariernya, sebaliknya hadir bersama amanah dan tanggungjawab lebih besar kepada peminat yang selama ini tidak pernah berhenti menyokongnya.

“Anugerah ini adalah tanggungjawab saya kepada peminat,” katanya yang ditemani adiknya juga penyanyi Anuar Zain pada Istiadat yang berlangsung hari ini itu.

Dalam kegembiraan meraikan detik istimewa itu, Ziana turut mengakui ada rasa sebak kerana kedua-dua arwah ibu bapanya tidak sempat menyaksikan sendiri pencapaian berkenaan.

“Saya sedih ibu bapa saya tak sempat tengok,” luahnya sambil menyeka air mata.

Sebagai anak jati Melaka, Ziana berkata dia sentiasa membawa nama negeri kelahirannya ke mana sahaja langkahnya pergi.

Pegangan “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sentiasa menjadi prinsipnya sepanjang berada dalam industri, namun pada masa sama identiti sebagai anak Melaka tetap dibawa bersama.

Selepas lebih tiga dekad kekal relevan dalam industri hiburan, pengiktirafan berkenaan menjadi satu lagi catatan manis dalam resume kerjaya seni Ziana.

Bukan sekadar gelaran, tetapi sebuah penghargaan terhadap perjalanan panjang, kerja keras serta sokongan peminat yang terus berdiri di belakangnya sejak awal kemunculan sehingga hari ini.

Terdahulu, Ziana menerima anugerah berkenaan pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri Melaka hari ini.- GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *