Ziana Zain Bergelar Datuk – Terima Anugerah DPSM

MELAKA: Selepas lebih tiga dekad mencipta nama sebagai antara penyanyi wanita tersohor tanah air, Ziana Zain kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran berkenaan.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, menerima anugerah berkenaan pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Istiadat berkenaan berlangsung dengan penuh adat dan tradisi di Balai Istiadat Seri Negeri, Melaka. Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah binti Abdul Rahman serta Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Zuriyah Ab. Aziz.

Pengiktirafan berkenaan tentunya menjadi detik cukup bermakna buat Ziana, 58, yang selama ini dikenali bukan sahaja menerusi kekuatan vokalnya, malah konsistensi serta sumbangannya dalam industri seni tempatan sejak era 1990-an.

Penganugerahan DPSM sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni figura kelahiran Melaka itu.

Lebih menarik, penganugerahan berkenaan hadir tidak lama selepas pelantun Madah Berhelah itu secara terbuka menyatakan dirinya tidak pernah mengejar sebarang gelaran atau darjah kebesaran.

Ketika ditemui media pada Julai lalu, Ziana berkata soal gelaran Datuk sudah beberapa tahun diperkatakan, namun dia memilih menyerahkan perkara berkenaan kepada rezeki dan ketentuan Allah SWT.

Baginya, perkara paling utama adalah terus menjalankan tanggungjawab sebagai penyanyi serta menghiburkan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seninya.

Malah, Ziana ketika itu turut berpegang kepada prinsip bahawa seseorang artis perlu mempunyai kelas tersendiri dan tidak perlu mengejar pengiktirafan, sebaliknya membiarkan penghargaan itu hadir pada waktunya.

Kini, kata-kata berkenaan seakan menjadi kenyataan apabila pengiktirafan yang tidak pernah dikejarnya akhirnya hadir sebagai penghargaan terhadap perjalanan panjangnya dalam dunia seni.

Ziana mula membina nama sekitar awal 1990-an dan kemudian muncul sebagai antara figura utama industri muzik Malaysia menerusi deretan lagu popular termasuk Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Anggapanmu, Setia Ku Di Sini dan Puncak Kasih.

Namanya turut mencipta pengaruh dalam dunia lakonan menerusi filem popular seperti Sembilu dan Maria Mariana, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura seni paling berpengaruh pada zamannya.

Lebih tiga dekad berlalu, aura dan populariti Ziana kekal utuh sehingga hari ini apabila penyanyi berkenaan masih aktif membuat persembahan serta terus mendapat perhatian peminat daripada pelbagai generasi. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *