KUALA LUMPUR : Bagaikan bulan jatuh ke riba, bakat baru Namira melahirkan rasa teruja apabila single sulungnya Bulan dipilih menjadi runut bunyi filem yang sedang ditayangkan Pagari Bulan.
Pemilik nama Amira Aman, 30, yang berasal dari Kuala Lumpur, tidak menyangka lagu itu menjadi pilihan pengarah ternama iaitu Raja Mukhriz untuk dijadikan runut bunyi filem arahannya.
“Lagu Bulan ini, saya cipta kira-kira dua tahun lalu berbekalkan inspirasi kepada seseorang yang saya cintai. Namun, sayangnya kami tiada jodoh apabila hubungan itu putus dan terjadilah jalan cerita lagu ini yang berkisar pada cinta tidak kesampaian.
“Sewaktu pihak Saudagar Seni memperdengarkan demo lagu tersebut kepada Sharifah Shahora selaku penerbit filem, beliau sangat berminat lalu meminta lagu tersebut dikongsi kepada Raja Mukhriz.
“Paling mengejutkan pengarah itu terus bersetuju untuk menjadikan lagu Bulan sebagai OST kerana sesuai dengan jalan cerita filen Pagari Bulan, malah menurut Raja Mukhriz kata lagu itu ada roh dan bila diputarkan berulang kali seakan-akan sebak menyelubungi hati,” kongsinya.
Lulusan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu berharap lagu ciptaan sepenuhnya itu mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Namira mengakui minat pada muzik sejak di bangku sekolah rendah serta sudah menyertai pelbagai pertandingan.
“Saya mengambil jurusan muzik dalam pengkhususan gitar klasik selama tiga tahun, diikuti kemudiannya tiga tahun lagi dalam jurusan penciptaan lagu dan susunan muzik pula.
“Selepas tamat pengajian, saya pernah jadi ‘backup musician’ untuk program Teh Tarik Che Ta di RTM pada 2016. Kemudian, saya dapat rezeki sebagai pengacara program travelog, Sneakers Merah Jambu di RTM yang disiarkan pada 2017,” katanya.
Bagi yang ingin mengikuti Namira boleh ke semua platform media sosial dengan nama @theofficialnamira. Selain itu, Muzik Video boleh diikuti di saluran YouTube Saudagar Seni Media https://www.youtube.com/watch?v=FaZTxWJR_CY&pp=ygUMYnVsYW4gTmFtaXJh . – GayahIsTyping