KUALA LUMPUR: Selepas lebih dekad mengukuhkan nama dalam dunia teater dan lakonan, pelakon serta penyanyi Fiza Thomas kini melakar fasa baharu dalam kerjaya seninya menerusi pelancaran Mini Album (EP) terbaharu berjudul Rayakan Dia.
Lebih menarik, EP yang menghimpunkan empat buah lagu ini adalah hasil nukilan Fiza sendiri menggunakan nama pena Fitho. Pelancaran ini sekali gus memamerkan sisi seni Fiza yang lebih matang, ceria, dan berani menterjemahkan emosinya ke dalam bentuk muzik.
Memulakan langkah seawal dari pentas teater sebelum menempa nama dalam bidang lakonan, Fiza mengakui minatnya terhadap dunia muzik tidak pernah padam. Tahun 2024 menjadi titik tolak penting dalam perjalanan seni Fiza Thomas apabila beliau mula memberi fokus yang lebih serius terhadap pembinaan identiti muziknya.
Langkah itu diteruskan dengan pelancaran single berjudul Rasa pada April 2025, sekali gus membuka ruang buat Fiza untuk lebih aktif berkarya bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai penulis lagu. Keberaniannya untuk menghasilkan karya sendiri turut berkembang apabila beliau mula mencipta lagu untuk rakan artis lain, termasuk penyanyi popular, Wany Kayrie.
Perjalanan itu tidak dilalui bersendirian. Fiza mengakui sokongan dan dorongan berterusan daripada sahabat terdekat, khususnya penyanyi Ara Johari, menjadi antara faktor penting yang membakar semangatnya untuk terus melangkah dengan lebih yakin dalam bidang muzik.
Menerusi karya terbaharu ini, Fiza memilih untuk meraikan hubungan, penghargaan dan keindahan menghargai insan yang sentiasa hadir dalam kehidupan, sekali gus memperlihatkan sisi dirinya yang lebih matang dan optimis.

“Bagi saya, Rayakan Dia adalah tentang meraikan orang yang kita sayang. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kehidupan sehingga terlupa menghargai mereka yang sentiasa ada. Jadi saya mahu EP ini menjadi satu bentuk perayaan terhadap mereka,” katanya.
Gubahan EP Rayakan Dia turut mendapat sentuhan kolaborasi bersama komposer Fai dan Dari.
Fiza turut mengadakan satu showcase khas baru-baru ini dengan mendendangkan kesemua empat karya terbaharunya secara langsung sambil berkongsi latar belakang kisah di sebalik setiap lagu. Di mana satu daripada lagu yang berkenaan didedikasikan khas buat seorang yang istimewa dalam hidupnya. – GIT MEDIA
