Floor 88 Terus Kukuh- Kekal Identiti Lagu Catchy

Floor 88 terus menjadi band yang terus bertahan dalam industri dengan semua anggotanya kekal sama serta masyhur menerusi lagu-lagu yang catchy dan menarik.

Terbaharu, band itu muncul dengan lagu berjudul F hasil ciptaan komposer, Zai Hamzah, manakala lirik ditulis oleh gabungan duo, Achoi Floor 88 dan Hemo.

Lagu terbaru Floor 88, F, bukan sekadar hiburan semata-mata kerana ia mengandungi kritikan sosial tentang isu taraf hidup dan sikap masyarakat.

Malah teguran yang disampaikan menjadi lebih jelas menerusi lakonan semula babak-babak menarik filem Man Laksa yang disampaikan dalam klip video lagu berkenaan.

“Lagu ini sebenarnya sudah agak lama ditulis, mengambil masa kira-kira hampir dua tahun untuk disiapkan.

“Kami tidak mahu mengitar semula idea sebelum ini, malah berusaha menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada lagu-lagu kami yang terdahulu.

“Kami mahu lari daripada konsep lama. Keadaan ini memberikan sedikit tekanan kepada kami kerana lagu Hutang sebelum ini sudah menjadi penanda aras yang tinggi untuk karya kami,” kata Achoi.

Sambungnya, F secara halus bukan sahaja menyentuh isu semasa malah mengandungi teguran untuk kesedaran masyarakat.

Sementara itu, mengulas mengenai ‘kekuatan’ lagu Floor 88 yang mudah diminati dan menjadi siulan ramai, Achoi berkata, dia sangat menitikberatkan penulisan lirik berbanding melodi.

“Bila kita (Floor 88) nak masuk pasaran ‘mainstream’, kita tidak boleh terlalu macam mencuba sebab lagu Floor 88 ini lebih kepada kita nak ada moral dan ‘easy listening’.

“Jadi, sebenarnya benda itu yang mencabar. Berkaitan melodi atau perkara lain, tidak sangat. Nak ‘easy listening’, maksudnya ‘proof’ dalam sesuatu lagu dan itulah yang agak susah sedikit,” jelasnya.

Achoi atau nama sebenarnya Zai Hamzah berkata, dalam penciptaan lagu juga ia tidak boleh dibuat-buat tetapi inspirasi itu biasanya datang sendiri.

Vokalis Floor 88, Ayie Elham pula, berkata, jika nak terus mengekalkan karya lagu yang mantap itu memang kena ‘pecah otak’ memandangkan lagu Hutang sebelum ini sudah mencatat ‘benchmark’ agak tinggi.

Selain Achoi sebagai pemain gitar dan Ayie, kumpulan Floor 88 turut dianggotai Falique selaku pemain basis, Eric Fuzi (keyboard), Muhammad Akram (pemain dram) dan Amir (gitar kedua).

Bagi MV lagu F ini, Eric Fuzi sebagai pengarah melakukan pendekatan konsep filem komedi, Man Laksa arahan Allahyarham Mamat Khalid pada 2006. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *