Ernie Zakri Terus Mekar – Sejambak Bunga Sebuah Lagi Rusume Muzik Terbaik Nyanyiannya

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang memiliki kredibiliti vokal terbaik negara, Ernie Zakri terus mekar dengan single terbaru berjudul ‘Sejambak Bunga’ sekaligus menambah resume muzik terbaik dalam kerjaya nyanyiannya.

Dari sudut produksi, ‘Sejambak Bunga’ melakar sejarah tersendiri apabila menjadi karya pertama hasil ciptaan dan lirik bersama komposer popular Hael Husaini serta Iqie Hugh buat penyanyi berkenaan.

Tampil lebih matang dan reflektif, lagu ini membawa mesej mendalam mengenai keberanian untuk menerima perjalanan hidup, belajar daripada pengalaman lalu, serta kebangkitan untuk menjadi versi diri yang lebih baik.

“Sejambak Bunga bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.

“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik. Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” katanya.

Sebagai seorang wanita, isteri, ibu, dan anak seni, Ernie melihat perubahan yang dilaluinya menjadi proses kedewasaan yang turut mempengaruhi pendekatannya dalam bermuzik. Walau bagaimanapun, beliau berharap pendengar dapat memberikan tafsiran personal masing-masing mengikut latar cerita hidup sendiri apabila mendengarkan karya itu.

Bagi melengkapkan dimensi visual single ini, mawar putih dipilih sebagai simbol utama yang melambangkan ketenangan, harapan, serta ruang untuk sebuah permulaan baharu tanpa perlu melupakan kenangan lalu. Single terbaharu ‘Sejambak Bunga’ kini boleh didengar dan distrim di semua platform penstriman digital utama.

Tidak keterlaluan, ramai yang sudah menyimpan angan lagu ini berkumandang di malam Anugerah Juara Lagu pada edisi seterusnya sambal menantikan Ernie membawa penonton larut dalam emosi saat mendengar alunannya. Sama-sama doakan lagu inii terus mekar dan mewangi. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *