June 13, 2024

Dua Dekad Jaclyn Victor: Konsert Julung Juara Malaysian Idol Pertama

Penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor akhirnya mengakui bersedia mengadakan konsert solonya yang pertama sepanjang 20 tahun kerjaya nyanyiannya sejak bergelar juara Malaysian Idol.

Jaclyn yang mesra disapa Jac berkata, Jaclyn Victor First Solo Concert bakal diadakan pada 12 Oktober depan di Zepp KL.

“Kalau tanya kenapa baru sekarang kerana secara jujurnya saya akui pernah risau dan tertanya-tanya adakah orang yang mahu menonton, namun apa yang pasti selepas kemunculan semula di kaca tv menerusi rancanga Gegar Vaganza saya semakin yakin.

“Konsert ini sangat bermakna bagi saya, penanda aras untuk tempoh 20 tahun saya dalam industri ini dan juga masa terbaik untuk saya ‘bagi balik’ kepada semua yang menyokong (kerjaya). Bukan mudah perjalanan untuk kekal relevan dalam industri tanpa sokongan hebat peminat.

“Saya sangat teruja dan mahu buat yang terbaik buat semua peminat yang hadir nanti,” katanya.

Demi memberi keseluruhan fokus untuk konsert solonya tahun ini, pelantun lagu Gemilang ini terpaksa menolak beberapa tawaran lain untuk mengadakan persembahan.

“Saya memang sudah fikirkan, mahu membuat konsert ini sejak tahun lepas, memandangkan tahun ini genap 20 tahun, dalam industri. Lagipun, saya ada kawan yang mahir dalam bidang ini (penganjuran konsert).

“Saya tolak dengan cara baik (tawaran lain mengadakan konsert). Jika tahun depan dapat (tawaran) saya boleh fikirkan, tahun ini saya fokus untuk ini,” katanya konsert itu akan dijayakan oleh Rag Doll Records dengan kerjasama Banyak Bagus Entertainment dan Awake Production.

 

Mengenai persediannya, penyanyi tinggi lampai ini mahu memberi fokus kepada keadaan suaranya.

“Saya perlu ada rehat yang cukup, sebab nanti nak menyanyi non-stop (tanpa henti) dalam tempoh panjang, ini penting. Saya juga elak makan ‘benda’ yang tidak perlu. Saya seorang penyanyi dan my voice is a gift (suara saya satu pemberian).

“Untuk pemilihan lagu dan pakaian atau penyanyi jemputan, buat masa ini kita belum finalised (muktamadkan) lagi. Satu kejutan untuk penonton yang hadir nanti,” katanya yang dijangka mendendangkan lebih 25 lagu pada konsert itu nanti.

Tiket bagi konsert tersebut boleh didapati mulai hari ini melalui www.livepass.asia. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts