April 25, 2025

Kisah Penuh Abnormal Buas dalam Novel – Aeril Zafrel Galak Baca Untuk Faham Cerita

Bagi mereka yang ingin mendalami dan memahami sepenuhnya filem Abnormal Buas, naskhah berkenaan kini boleh didapati dalam bentuk novel seperti yang diancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.

Novel yang menggunakan judul sama itu ditulis oleh Shahriman Wahap, Nadzri Kamsin dan Syamzaly Musa serta diterbitkan oleh Karya Publika Sdn Bhd.

Pelakon yang juga penerbit filem itu Aeril Zafrel berkata, penerbitan novel ini membolehkan khalayak untuk mengenali dan memahami cerita Abnormal Buas dengan lebih mendalam lagi.

“Novel ini diterbitkan disebabkan cerita yang begitu kaya dan mendalam, sehingga tidak dapat dimuatkan sepenuhnya dalam format filem. Dengan menerbitkan novel terlebih dahulu, pembaca dapat menyelami perjalanan cerita secara lebih terperinci dan komprehensif.

“Malah, walaupun tanpa mengikuti keseluruhan trilogi, mereka yang menonton filem ini pun akan tetap dapat memahami alur dan makna ceritanya dengan baik. Ini menunjukkan betapa hebat dan lengkapnya penceritaan dalam novel ini.

“Sebenarnya, menggambarkan keseluruhan cerita dari novel dalam bentuk filem pun mungkin tidak mencukupi. Novel ini seolah-olah menjadi tambahan yang memperkaya pemahaman penonton terhadap dunia cerita yang begitu mendalam. Bagi mereka yang membaca novel ini, pasti akan dapat menyelami dan memahami cerita ini dengan lebih menyeluruh dan bermakna,” katanya.

Menurutnya, filem itu mengisahkan manusia yang bersifat ‘kebinatangan’ dengan diselitkan eleman fiksyen.

“Filem ini tidak berlatarbelakangkan Malaysia, sebaliknya ia berkisarkan di negara yang berbeza. Bandar dan watak yang diketengahkan juga bukan dari Malaysia, memandangkan cerita ini mengandungi unsur-unsur yang mungkin dikenakan tapisan sekiranya ia berlatar di negara kita.

“Oleh itu, untuk memberikan kebebasan kreatif, kami mencipta satu negara yang berbeza sebagai latar belakang. Apa yang menarik mengenai novel dan cerita ini ialah ia agak unik dan mempunyai banyak unsur yang mendebarkan serta membangkitkan rasa teruja,” katanya.

Selain Aeril, filem terbitan Respected Citizen Production ini menampilkan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Nabila Huda, Wawa Zainal, Johan Asari, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosemila, Kodi Rasheed, Ahmad Yatim, Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Jalil Hamid dan ramai lagi.

Novel dijual pada harga RM33.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM35.90 (Sabah dan Sarawak). – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts