ATMA – Ernie Zakri Buka Cerita Tentang Luka, Cinta Dan Jiwa

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar mahu mempertaruhkan kehebatan vokal, penyanyi Ernie Zakri kini memilih untuk menyelami sisi emosi manusia yang lebih mendalam menerusi album terbaharunya, ATMA, yang dilancarkan pada 23 Oktober lalu.

Membawa maksud ‘jiwa’, album yang memuatkan tujuh trek itu memperlihatkan sisi Ernie yang lebih matang dan berani apabila mengangkat pelbagai perasaan termasuk cinta, kerinduan, kekecewaan, kemarahan serta kekuatan untuk menerima kenyataan dan bangkit semula.

Bagi Ernie, ATMA bukan sekadar himpunan lagu, sebaliknya sebuah perjalanan untuk memahami perasaan yang sering dipendam dan tidak semestinya mampu dilihat oleh orang lain.

“Untuk saya, jiwa itu bukan sesuatu yang mudah diterangkan. Ia tentang apa yang kita rasa, apa yang kita simpan, apa yang pernah membentuk kita, semua benda yang mungkin orang tak nampak bila mereka melihat kita dari luar,” katanya.

Berbeza dengan album terdahulu, AURA, yang membawa perjalanan muzik lebih luas, ATMA hadir dengan pendekatan lebih padat dan berkonsep apabila setiap trek disusun bagi membentuk sebuah penceritaan yang saling berkait.

Menariknya, album berkenaan dimulakan dengan sebuah intro, diikuti lima lagu utama sebelum ditutup menerusi Finito, sekali gus membawa pendengar menyusuri perubahan emosi daripada suasana gelap dan tegas kepada penerimaan yang lebih terbuka.

Mengakui album itu menuntut penghayatan vokal berbeza, Ernie mahu setiap lagu disampaikan dengan jujur agar pendengar bukan sahaja dapat menikmati keindahan melodi, malah memahami emosi yang cuba disampaikan.

Bagaimanapun, penyanyi bersuara emas itu menjelaskan bahawa penceritaan dalam ATMA tidak semestinya menggambarkan pengalaman peribadinya secara langsung, sebaliknya turut diilhamkan daripada pemerhatian, empati dan imaginasi terhadap kehidupan manusia.

“Saya harap bila orang masuk ke dunia ATMA, mereka bukan cuma mendengar suara saya, tapi mereka dapat rasa sesuatu yang dekat dengan diri mereka sendiri,” katanya yang terlebih dahulu memperkenalkan arah muzik album itu menerusi lagu Sejambak Bunga.

Selepas memberikan peluang kepada peminat terpilih mendengar album berkenaan menerusi sesi Intimate Pre-Album Listening Party pada 15 Oktober lalu, Ernie berharap ATMA akan terus berkembang melalui persembahan langsung dan karya visual, sekali gus membuktikan bahawa muzik bukan hanya untuk didengar, tetapi turut dirasai. Album berkenaan kini boleh dinikmati di semua platform penstriman utama. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *