Ternyata pemilik nama Melly Goeslow itu seorang genius muzik pada arashnya tersendiri dengan bersandarkan bakat untuk menakluk hati ribuan penonton di acara konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends? : Malam Graduasi di Axiata Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Melly tidak perlu vokal sempurna namun dengan senjata lengkapnya iaitu susunan karya malar segarnya membuatkan seisi penonton teruja sebaik Tak Tahan Lagi berkumandang sehingga lagu terakhirnya.
Kesemua kira-kira 23 lagu yang disampaikan mesra telinga penonton meski ada yang bukan nyanyian asal Melly. Itu antara rahsia kejayaan sebuah konsert iaitu lagu sebagai menu dan hidangan utama kena dengan selera serta tekak penonton.
Lagu alunan Melly sendiri punyai jiwa dan roh yang mendakap terus penonton malam itu seperti Ingin Mencintai dan Dicintai, Denting, Ada Apa Dengan Cinta, Ku Bahagia, Gantung dan banyak lagi.
Melly turut melantunkan lagu karyanya yang dinyanyikan oleh penyanyi ternama seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Rossa termasuklah lagu Biarlah Rahsia, Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies.
Tidak ketinggalan, Melly mempersembahkan Jangan Pernah Berubah yang asalnya dinyanyikan oleh Marcell. serta lagu My Heart, duet popular antara Irwansyah dan Acha Septriasa.
Malam itu turut menyaksikan kerjasama luar biasa antara Melly dan Joe Flizzow menerusi lagu Jika. Gabungan dua bakat besar dalam satu persembahan membuatkan penonton teruja dan kagum.
Irama hip-hop yang disuntik Joe Flizzow menambah warna dalam persembahan Melly yang sememangnya sudah penuh dengan variasi.
Alibi Melly selaku genius muzik diterjemahkan apabila pada malam itu Melly mencipta lagu secara spontan dengan bantuan dua penonton yang dijemput naik ke pentas.
Lagu istimewa itu didedikasikan kepada rakyat Palestin sebagai tanda ingatan dan sokongan terhadap mereka.
“Kita boleh meraikan konsert dan boleh berhibur, tapi kena sentiasa ingat akan situasi yang berlaku di Palestin.
“Lagu ini saya hibahkan kepada sesiapa saja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang nak gunakannya, saya dan dua penonton yang hasilkannya hadiahkan dengan ikhlas.
“Bukan kerana anda seorang yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa agama sekalipun. Tak perlu menjadi bangsa negara Malaysia, Indonesia atau apa pun. Tapi, kita perlu menjadi manusia dan melihat dari sudut kemanusiaan,” katanya.
Melly juga tampil anggun dengan busana satu daripadanya rekaan Ezuwan Ismail yang menjadi pereka fesyen pertama Malaysia mendapat kepercayaan penyanyi yang mesra disapa Teh Melly itu. Ternyata busana yang digayakan Melly ciptaan Ezuwan itu memukau dengan perincian lebih 30,000 ribu manik dan 70,000 Mutiara dengan kos mencecah RM130,000.
Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends?: Malam Graduasi wajar menjadi contoh untuk menggapai satu konsert sukses dalam semua aspek, meskipun ada beberapa kelemahan semua itu boleh dimaafkan. Little imperfection that made perfect.
Trilogi konsert bunga pujaan Anto Hoed itu bakal lengkap pada 31 Mei 2025 yang mana bakal menjadi tarikh konsert Melly seterusnya di Malaysia bertemakan Prom Night seperti diumumkan usai malam konsert itu.
Jadi ayuh bersedia untuk dinobatkan sebagai King dan Queen Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends?: Prom Night! – GayahIsTyping
You may also like
-
Fattah Fazura Cerai: Nafi Curang, Tak Sangka Buka Aib
-
Fazura Fattah Cerai – Abai Nafkah, Tiada Persefahaman Dan Curang
-
Terima Kasih Suria FM – Buka Peluang Penyanyi Dikir Kelantan Ketengahkan Bakat
-
Abang Bomba Pendengar Setia Suria FM – Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire Tarik Peminat Brunei, Singapura
-
Baim Wong Bawa Anna Jobling Ke Indonesia – Terima Tiga Tawaran Selepas Lembayung