September 23, 2023

Air Mata Shiha Zikir, Dihamun Teman Artis

PETALING JAYA : Air mata penyanyi ini mengalir laju saat ditemui sebaik namanya tersenarai dalam Top 5 pencalonan Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021).

Shiha Zikir tidak dapat menahan sebak dan menangis hinggakan temubual terhenti dan teman media yang ada cuba menenangkan penyanyi itu.

“Saya dah tahan dari tadi bila jumpa anda semua saya gagal tahan lagi, saya sedih dan terharu.

“Ini antara hikmah bersabar biarpun saya diuji dan dilayan malah dituduh macam-macam sebelum ini,” katanya sambil menyeka air mata.

Shiha yang dikenali sangat peramah dan periang bertukar menjadi begitu emosi kerana rupa-rupanya dia menyimpan perasaan tertekan tanpa dikongsi.

Kata Shiha, antara yang membuat dia sedih apabila terkenangkan beberapa bulan lalu dia ada menerima satu panggilan daripada teman artis yang memarahi dan mengeluarkan kata kesat kepadanya.

Foto : ASTRO / Azrul Rafie

 

“Saya tidak tahu apa salah saya. Kami kenal antara satu sama lain, tapi dia telefon dan terus hamburkan kata-kata yang buatkan saya terkejut.

“Sepanjang 20 minit di talian saya dituduh tidak sedar diri dan tidak layak berada dalam dunia seni macam-macam tuduhan dilemparkan pada saya.

“Saya hanya mampu minta maaf dan memberitahu saya hanya mencari rezeki dalam dunia seni,” katanya.

 

Enggan memberitahu gerangan individu terbabit, Shiha berkata orang itu seorang yang sangat berjaya dan sudah berada tinggi berbanding dirinya.

Akui pelantun lagu Aewo ini, sebenarnya sudah banyak perkara ditelannya sendiri dan insiden panggilan telefon itu bukan yang pertama.

Katanya, diperli dan nama digugurkan sesuka hati serta dikutuk kawan sendiri juga antara hal yang pernah dilalui namun memilih untuk tidak berkongsi perkara itu.

 

“Biarlah saya telan cuma itulah hari ini perasaan bercampur macam-macam dan jadi sedih.

“Apaapun saya percaya semua ini hikmah buat saya. Macam saya katakan tadi saya di sini kerana mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Shiha berjaya berada dalam senarai finalis Bintang Filem Meletop, Group/Duo Meletop, Lagu Meletop dan Artis Versatil Meletop.

AME2021 bakal berlangsung pada 30 Januari 2022 secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menampilkan pengacara Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts