KUALA LUMPUR: Gelaran juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) bukan alasan untuk penyanyi kelahiran Singapura, Iskandar Ismail, berasa selesa, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus menyusun perjalanan kerjaya seninya dengan lebih terancang.
Selepas mencipta kejayaan dalam pertandingan realiti popular itu pada Januari lalu, penyanyi yang mesra disapa Eiss berkenaan dilihat terus mengorak langkah menerusi beberapa projek muzik dan undangan persembahan di Malaysia serta Singapura.
Bagi penyanyi berusia 47 tahun itu, kemenangan dalam sesebuah pertandingan bukan jaminan untuk terus kekal relevan, apatah lagi dalam industri hiburan yang sentiasa menuntut seseorang artis menghasilkan sesuatu yang baharu.
Lebih menggembirakan, kemampuan dan pengalaman Iskandar turut mendapat pengiktirafan di negara kelahirannya apabila diberi kepercayaan menjadi juri jemputan program realiti nyanyian Anugerah 2026, terbitan Mediacorp Singapura.
Menariknya, Iskandar sendiri merupakan alumni pertandingan Anugerah pada 2001. Selepas lebih dua dekad, beliau kembali ke pentas yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal seninya, namun kali ini berada di kerusi juri untuk menilai bakat generasi baharu.
Pengiktirafan itu sekali gus memperlihatkan perjalanan seni Iskandar yang bukan sahaja berjaya mencipta nama sebagai penyanyi, malah turut diberi kepercayaan untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang nyanyian.

Dalam perkembangan kerjaya, Iskandar turut bersyukur kerana berada di bawah pengurusan MindOrder yang terus merencana pelbagai perancangan bagi memastikan momentum kejayaannya selepas GV12 tidak terhenti begitu sahaja.
Kerjasama dengan syarikat pengurusan berkenaan turut membuka peluang buat Iskandar meneroka pasaran muzik Malaysia secara lebih tersusun, termasuk menghasilkan karya baharu dan menjalin kolaborasi bersama penyanyi tempatan.
Antara yang mencuri perhatian ialah gandingannya bersama penyanyi bervokal hebat, Idayu menerusi lagu duet berjudul Mahal, yang turut menjadi runut bunyi drama Mencari Isteri Sempurna.
Kolaborasi dua penyanyi yang memiliki kekuatan vokal tersendiri itu membuktikan kesungguhan Iskandar untuk terus menghasilkan material berkualiti, selain memperkenalkan kemampuan seninya kepada kelompok pendengar yang lebih luas.
Tidak terhenti di situ, Iskandar turut tampil dengan single solo Aku Salah, hasil ciptaan Ilham Baso dan Mohsen yang mengetengahkan kisah penyesalan, kehilangan serta harapan untuk memperbaiki hubungan yang telah berakhir.
Lagu yang menjalani proses rakaman di Jakarta, Indonesia itu diterbitkan menerusi kerjasama MindOrder Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia, sekali gus menambah koleksi karya baharu penyanyi berkenaan selepas menjuarai GV12.
Meskipun pernah melalui perjalanan panjang lebih dua dekad dalam industri muzik, anak kepada Allahyarham R. Ismail, penyanyi legenda Singapura itu ternyata masih mempunyai semangat untuk terus berkarya dan memperkukuhkan kedudukannya dalam industri hiburan serantau.
Jelas sekali, Iskandar tidak mahu sekadar dikenang sebagai juara sebuah pertandingan realiti. Sebaliknya, beliau sedang membina kesinambungan kerjaya yang lebih bermakna kerana dalam dunia seni, gelaran mungkin membuka pintu peluang, tetapi usaha dan konsistensi yang menentukan sejauh mana seseorang mampu bertahan. – GIT MEDIA
