Filem Seram ‘Menghantui’ FFM35 – Khadam, Malam Terlarang Raih 12 Pencalonan

PETALING JAYA: Genre seram nampaknya bukan sekadar berjaya menarik penonton, malah turut mendominasi pentas Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) apabila dua filem, Khadam dan Malam Terlarang, mendominasi senarai lima calon terbaik dengan masing-masing meraih 12 pencalonan.

Pengumuman yang berlangsung pada 10 Oktober lalu menyaksikan kedua-dua karya itu muncul antara pencabar utama, termasuk bagi kategori paling berprestij, Filem Terbaik.

Khadam arahan Shamyl Othman turut mencuri perhatian apabila pengarahnya membolosi kategori Pengarah Terbaik, selain filem terbitan Red Communications dan Komet Productions itu dicalonkan bagi Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik serta beberapa kategori teknikal lain.

Tidak kurang hebat, Malam Terlarang arahan Allahyarham Norhanisham Muhammad atau Labu turut mencipta impak tersendiri dengan pencalonan Pengarah Harapan, sekali gus menjadi satu pengiktirafan bermakna terhadap hasil kerja terakhir yang ditinggalkan pengarah berkenaan.

Filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Productions itu turut menyaksikan Shasha Abedul dicalonkan bagi Pelakon Wanita Terbaik, Sofia Jane bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Aila Azizul bagi Pelakon Wanita Harapan.

Persaingan Filem Terbaik turut menyaksikan Mother Bhumi dan Abah Saya Uncle Mike masing-masing dengan lapan pencalonan, manakala Macai melengkapkan senarai menerusi enam pencalonan.

Sementara itu, kategori Pelakon Lelaki Terbaik menjanjikan persaingan sengit apabila Beto Kusyairy menerusi Gayong 2 bakal berentap dengan Shaheizy Sam (Badak), Idan Aeden (Abah Saya Uncle Mike), Eman Manan (3 Hajat) dan Amerul Affendi (Libang Libu).

Bagi Pelakon Wanita Terbaik pula, Shasha Abedul bakal berdepan Aida Amron (Badak), Fish Liew (Pavane for an Infant), Nad Zainal (Denu) dan Mimi Lana (Polong).

Turut menarik perhatian ialah filem aksi Tarung: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid yang meraih 10 pencalonan, termasuk menerusi barisan pelakonnya Aedy Ashraf, Azira Shafinah dan Mierul Aiman.

Pengarah Terbaik dan Pengarah Harapan Jadi Tumpuan

Dalam kategori pengarahan, Shamyl Othman menerusi Khadam tampil sebagai antara calon Pengarah Terbaik yang mendapat perhatian, manakala Allahyarham Norhanisham Muhammad melalui Malam Terlarang tersenarai bagi Pengarah Harapan.

Pencalonan kedua-dua pengarah ini turut menyerlahkan kekuatan genre seram tempatan yang semakin mendapat pengiktirafan bukan sahaja daripada sudut populariti, tetapi juga aspek pengarahan dan mutu penerbitan.

FFM35 Tawar Dana RM1 Juta

Bertemakan Spektrum Sinema, FFM35 mempertandingkan 25 kategori anugerah dengan pemenang Filem Terbaik bakal menerima Dana Kandungan Kreatif berjumlah RM1 juta daripada Kementerian Komunikasi.

Malah, setiap pemenang kategori turut menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam industri perfileman negara.

Malam kemuncak FFM35 dijadual berlangsung pada 21 November 2026 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, dengan Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson diberi tanggungjawab mengendalikan acara berprestij itu.

Majlis berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM dan saluran YouTube FINAS.

Dengan dua filem seram menguasai pencalonan tahun ini, persoalannya kini, mampukah Khadam atau Malam Terlarang menamatkan malam anugerah sebagai juara, atau bakal muncul kejutan daripada karya lain? – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *